Kekerapan orang ramai menggunakan perkhidmatan ATM untuk mengeluarkan wang atau melakukan lain-lain transaksi memberi peluang kepada penjenayah melakukan rompakan dan kebanyakan kes adalah disebabkan kecuaian pengguna itu sendiri.
Antara modus operandi yang sering digunakan oleh si penyamun ialah dengan menggunakan taktik ‘tepuk bahu’ yang juga merupakan cara paling licik dan tidak disedari oleh pengguna.
Walaupun jenayah ‘tepuk bahu’ di ATM jarang dilaporkan berbanding dengan jenayah lain, namun perkara seperti ini perlu dititikberatkan pengguna khususnya golongan wanita dan pelajar.
Jika ingin mengeluarkan wang di ATM, pastikan anda berteman dan pergi ke kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mengelak jenayah ini.
Memetik kes yang pernah dilaporkan oleh Sinar Harian, seorang mangsa yang dikenali sebagai Azmi sedang mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran kawasan pejabatnya.
Sedang dia mengambil wang yang telah dikeluarkan di ATM terbabit, tiba-tiba bahunya ditepuk daripada belakang oleh seseorang yang tidak dikenali memberitahu duitnya terjatuh.
Selepas mengambil duitnya yang ‘terjatuh’ itu, dia terkejut apabila mendapati duit yang dikeluarkan di ATM tadi sudah lesap.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini? Jika anda pernah mengalaminya, anda mungkin menjadi antara ribuan mangsa si penyamun yang sentiasa ‘dahagakan’ wang ringgit.
Di sini terdapat tip-tip yang harus anda amalkan ketika menggunakan perkhidmatan ATM ialah:
Sasaran mangsa si penyamun
-Orang yang mendapat gaji pada hujung bulan
-Golongan wanita
-Mereka yang bersendirian di mesin ATM
-Orang yang mengeluarkan wang pada waktu malam
-Orang yang kerap mengambil wang dalam tempoh masa yang tetap seperti ahli perniagaan
-Leka mengira wang tunai di hadapan mesin ATM
-Berbual dengan orang yang tidak dikenali ketika di mesin ATM
Tips pencegahan
-Keluarkan wang ketika diwaktu yang mempunyai orang ramai terutamanya pada waktu tengah hari.
-Bawa teman ketika mengeluarkan wang di mesin ATM.
-Sekiranya anda berasa curiga dengan orang yang berada di kawasan ATM, segera hubungi pihak polis.
-Jangan beritahu maklumat bank anda kepada orang lain.
-Jangan melayan sesiapa semasa membuat transaksi di ATM
-Pastikan nombor pin tidak terdedah ketika membuat transaksi.
-Jangan berlengah-lengah di kawasan ATM tersebut. Terus beredar.
-Jika seseorang tidak dikenali datang menghampiri setelah mengeluarkan wang, terus masuk ke dalam kereta dan kunci kemudian beredar dari situ. Bersedia untuk menekan hon kereta jika perkara tidak diingini berlaku.
Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’.
Oleh: hzqahmd
0 comments:
Post a Comment