BESUT – Kementerian Pendidikan sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bagi menawarkan tempat pengajian kepada pelajar Malaysia di Mesir yang terpaksa pulang ke tanah air ekoran pergolakan yang sedang berlaku di negara tersebut.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya juga sedang melihat pengajian di beberapa negara lain yang boleh ditawarkan kepada pelajar terbabit untuk menyambung pelajaran seperti bidang perubatan seperti di Indonesia dan India.
“Satu perjumpaan dengan pelajar yang pulang dari Mesir juga akan diadakan pada 12 September ini ini bagi mencari jalan terbaik untuk mereka menyambung pembelajaran,” katanya pada majlis Pelancaran Program Jelajah Merdeka 2013 Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan masih tidak mengalakkan pelajar Malaysia kembali ke Mesir bagi meneruskan pelajaran mereka kerana keadaan di negara teluk itu masih bergolak dan belum stabil.
Malah, katanya, laporan diterima Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati keadaan di negara itu masih tidak selamat dan masih menguatkuasakan perintah berkurung.
Katanya, laporan turut menunjukkan hampir seluruh negara telah membawa pulang pelajar mereka dan belum membenarkan pelajar terbabit kembali ke Mesir.
Kementerian Pendidikan semalam mengeluarkan nasihat kepada pelajar Malaysia di Mesir yang telah pulang ke tanah air supaya tidak kembali ke negara tersebut dalam tempoh terdekat.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan media dipetik berkata, nasihat itu dikeluarkan memandangkan keadaan di Mesir masih belum stabil.
“Keadaan di Mesir masih belum stabil berdasarkan empat faktor iaitu perintah berkurung masih berkuatkuasa di bandar Kaherah dan Iskandariah dan kerajaan baharu di Mesir masih belum ditubuhkan.
“Nasihat ini juga berdasarkan faktor rakyat negara lain yang terlibat dalam operasi evakuasi juga belum dibenarkan balik ke Mesir dan nasihat perjalanan Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia supaya tidak berkunjung ke Mesir masih berkuatkuasa hingga kini,” kata kenyataan itu semalam.
0 comments:
Post a Comment