SYDNEY – Ahli politik, Tony Abbott berjanji akan membentuk sebuah kerajaan yang cekap dan boleh dipercayai selepas parti campurannya menang besar dalam pilihan raya umum Australia semalam.
Abbott merupakan pemimpin gabungan antara Parti Liberal dan Parti Nasional.
Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan pemerintahan kerajaan Parti Buruh selama enam tahun di negara berkenaan.
“Saya boleh menyatakan kepada anda bahawa kerajaan Australia telah berubah.
“Untuk kali ketujuh dalam tempoh 60 tahun kerajaan Australia telah berubah,” kata Abbott sambil disahut sorakan penyokongnya di sebuah hotel di sini.
“Bermula hari ini saya mengisytihar bahawa Australia kini di bawah pentadbiran baharu,” tambahnya.
Pengiraan kerusi masih belum muktamad tetapi Perdana Menteri, Kevin Rudd mengaku kalah pada hari yang sama selepas keputusan semasa memihak kepada Abbott.
Bakal Perdana Menteri baharu itu juga menyatakan, parti gabungan pimpinannya telah memenangi 13 lagi kerusi sekali gus membolehkan beliau membentuk kerajaan majoriti.
“Saya tidak sabar untuk membentuk sebuah kerajaan yang cekap, boleh dipercayai dan dapat melaksanakan komitmen yang dijanjikan sebelum ini,” katanya.
Menurut Abbott, kerajaannya akan mengotakan semua janji kepada rakyat tanpa kejutan atau alasan.
“Kerajaan ini juga faham akan had kuasa dan juga potensinya,” tambah pemimpin tersebut. – AFP
0 comments:
Post a Comment