SEREMBAN – Cuma tiga aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di ibu negara berhubung kenaikan harga barangan sejak 3 September lalu.
Menteri KPDNKK, Datuk Hasan Malek berkata, jumlah aduan yang terlalu sedikit itu membuktikan bahawa kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen tidak memberi implikasi besar terhadap harga barangan.
“Sehingga hari ini, aduan yang kita terima tidak banyak contohnya kalau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita cuma terima tiga sahaja aduan mengenai kenaikan harga barang.
“Keadaan ini jelas membuktikan bahawa pengurangan subsidi bahan api itu yang diumum kerajaan tidak memberi implikasi besar terhadap kos operasi peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri dan Perasmian Bangunan Pejabat Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, KPNDKK sudah menghantar pegawai untuk memberi notis tunjuk sebab kepada tiga peniaga terbabit.
Tegas beliau, peniaga berkenaan akan dikenakan tindakan jika didapati sengaja menaikkan harga berikutan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel pada 3 September lalu.
Beliau dalam pada itu mengulangi penegasan bahawa pengurangan subsidi bahan api yang membawa kepada kenaikan harga minyak 20 sen hanya memberi kesan sekitar 0.1 peratus terhadap kos keseluruhan peniaga.
Justeru, katanya, tidak wajar peniaga bertindak menaikkan harga barangan memandangkan kesan kenaikan harga minyak itu terlalu kecil terhadap operasi perniagaan mereka.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kebanyakan peniaga kerana tidak menaikkan harga barangan dan memahami hasrat kerajaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment