Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, September 23, 2013

No Comment


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Selangor menggesa Menteri Besar Incorporated (MBI) memberi penajaan yang lebih besar kepada pasukan bola sepak Selangor bagi memastikan beberapa tunggak utama pasukan tersebut tidak dirampas oleh pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Timbalan Ketuanya, Mohd. Sany Hamzan berkata, desas-desus pasukan Selangor terpaksa melepaskan beberapa pemain utama pasukan itu untuk menyertai JDT ekoran penajaan yang tidak mencukupi untuk musim akan datang sebagai episod sedih dan malang bagi perkembangan bola sepak negeri.

“Kegagalan pihak penaja terutama MBI untuk menyalurkan penajaan yang lebih baik akan menyebabkan pemain berbakat Selangor berhijrah kepada pasukan yang akan menawarkan imbuhan lebih tinggi sehingga menyebabkan pasukan Selangor yang pernah menjadi gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu menjadi lesu dan tidak bermaya pada masa akan datang.

“Kerajaan Selangor dan pihak penaja perlu memahami bahawa bola sepak adalah sukan teras utama yang menjadi kegemaran dan kegilaan rakyat Selangor dan penyokong fanatiknya berada di mana-mana. Hati penyokong setia ini pasti akan hancur dan remuk jika melihat pemain utama skuad Selangor seorang demi seorang berhijrah ke pasukan JDT disebabkan faktor kewangan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Sany berkata, Selangor mempunyai sumber kewangan yang baik maka perlu melihat perkembangan isu bola sepak negeri itu dengan serius dan berusaha menanganinya dengan sebaik mungkin supaya sokongan dan dokongan peminat bola sepak Selangor tidak disia-siakan.

“Semoga ada penambahbaikan samada dari sudut penajaan dan pengurusan pasukan Selangor untuk musim yang akan datang. Semoga pasukan Selangor akan kembali mengaum semula dengan kejayaan yang berterusan,” katanya lagi.

Media hari ini melaporkan, Selangor yang tersingkir daripada saingan Piala Malaysia hampir pasti terpaksa pula melepaskan lapan tonggaknya ke pasukan lain, musim depan ekoran penajaan RM8 juta setahun daripada MBI tidak mampu menandingi tawaran gaji lumayan oleh kelab berbelanja besar, JDT.

JDT dilaporkan menawarkan Amri Yahyah gaji RM1 juta setahun atau RM85,000 sebulan manakala tiga lagi pemain – penjaga gol Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan kapten Asraruddin Putra Omar – dikatakan bakal mendapat gaji antara RM40,000 hingga RM60,000 sebulan bersama kelab Harimau Selatan itu. 

0 comments:

Post a Comment