Mohd Jahiman
TANAH MERAH - Pemimpin kanan yang mewakili dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan agar Polis Kelantan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap semua pertubuhan di negeri ini sempena pelaksanaan Ops Cantas Khas.
Saranan dibuat Timbalan Pengerusi Persatuan Belia Taat Ikhlas Generasi Erat (PBTiger) Kelantan merangkap Ahli Majlis Pengelola Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris Malaysia), Mohd Jahiman Hassan.
Menurut Mohd Jahiman, PBTiger dan Pewaris Malaysia Kelantan menyokong penuh operasi pencegahan jenayah yang dilancar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ops Cantas Khas.
"Aktiviti jenayah harus dibanteras dari akar umbi. Jadi kami sarankan polis buat pemeriksaan menyeluruh ke atas semua pertubuhan di negeri ini terutama pertubuhan tidak berdaftar.
"Ada pertubuhan mendakwa pergerakan mereka berteraskan Islam tetapi perjalanan atau modus operandinya jauh menyimpang dari ajaran agama. Malah elemen kongsi gelap juga bertunas dalam kalangan ahli pertubuhan," katanya, semalam.
Tambahnya, ada pertubuhan haram turut menggunakan pelekat khas kenderaan, gelaran atau panggilan khusus yang biasa digunakan pertubuhan berdaftar seperti Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Pewaris Malaysia.
Katanya, keadaan itu secara tidak langsung mencemarkan imej pertubuhan berteraskan Islam dan berdaftar kerana dikaitkan dengan aktiviti samseng serta kongsi gelap yang didalangi pertubuhan tidak berdaftar.
"PBTiger bagaimanapun tidak menafikan ada pertubuhan tidak berdaftar yang berjaya mendidik ahlinya patuh kepada ajaran agama dan undang-undang serta mendukung perlembagaan.
"Kerana itu kita saran siasatan menyeluruh bagi memastikan pertubuhan di negeri ini bebas dari anasir-anasir yang menjurus kepada aktiviti samseng dan kongsi gelap," katanya.
0 comments:
Post a Comment