Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, November 22, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengumumkan pelantikan empat anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno tambahan iaitu dua daripada pergerakan Wanita dan masing-masing seorang daripada sayap Pemuda serta Puteri.

Najib berkata mereka ialah Naib Ketua Wanita Datuk Azizah Mohd Dun, Penolong Setiausaha Wanita Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.

“Kita ada kuasa untuk melantik 13 orang anggota MT tambahan, dua daripada Wanita, seorang daripada Pemuda dan Puteri, jadi baki lagi sembilan orang akan diumumkan pada awal minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MT selepas proses pemilihan parti bulan lepas.

“MT juga mengambil keputusan supaya semua menteri besar dijemput untuk turut hadir dalam mesyuarat MT kerana mereka ada kuasa sebagai menteri besar dan pengerusi perhubungan negeri, amalan ini sudah berlaku sebelum ini,” katanya.

“Kehadiran mereka tidak akan menyekat peluang untuk lantikan tambahan sembilan orang lagi anggota MT,” katanya.

Najib berkata MT juga mengesahkan untuk meneruskan khidmat penyandang jawatan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan.

Najib turut mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menerima sebarang cadangan dan pandangan untuk penambahbaikan proses pemilihan parti yang pertama kali diadakan bulan lepas selepas pindaan perlembagaan parti itu pada 2009.

Beliau berkata cadangan yang diterima akan dikaji tanpa mengorbankan konsep fundamental iaitu pemilihan yang dilakukan oleh bilangan yang ramai kerana ia merupakan satu prinsip yang amat baik untuk diteruskan dan diterima oleh anggota parti.

“Ini menunjukkan bahawa Umno mempunyai iltizam politik untuk melakukan transformasi pada parti supaya parti kita merupakan parti yang lebih progresif mengikut tuntutan perubahan masa,” katanya.

Selain itu, kata Najib, MT juga memutuskan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Bantahan yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Azmi Khalid berikutan pelbagai aduan diterima mengenai perjalanan pemilihan yang dibuat di peringkat bahagian khususnya pemilihan sayap-sayap.

“Jawatankuasa khas ini akan melaporkan aduan kepada Jawatankuasa Pengurusan yang telah diturunkan mandat kepada MT untuk membuat keputusan muktamad tentang kes-kes bantahan yang telah diterima,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata sebanyak 172 bantahan diterima berkenaan pemilihan parti itu termasuk isu disiplin.

“Apabila timbul soal disiplin, kita kena rujuk pada Jawatankuasa Disiplin dan kemudian yang lain itu berkaitan dengan proses pemilihan akan diteliti oleh Jawatankuasa Bantahan dan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan yang akhirnya akan membuat keputusan tentang kes-kes yang telah diajukan ini,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan yang akan dibuat berkaitan bantahan-bantahan itu akan menjejaskan keputusan pemilihan parti sebelum ini, beliau berkata ia tidak akan berlaku kerana keputusan pemilihan itu telah disahkan Jawatankuasa Pemilihan dan diumumkan presiden parti.

“Tetapi kes-kes tertentu di mana mungkin perlu ada pemilihan semula, ada beberapa kes-kes yang tertentu itu kita akan telitilah dan akan kita putuskan dalam tempoh sebelum perhimpunan,” katanya.

Najib turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan pasukannya yang bekerja keras dalam menjayakan pemilihan Umno baru-baru ini.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno 2013, Najib berkata ia akan berlangsung dari 2 hingga 7 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Perhimpunan itu akan dimulakan dengan forum antarabangsa pada 2 dan 3 Disember; taklimat presiden dan perasmian persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 3 Disember; persidangan ketiga-tiga sayap pada 4 Disember dan perhimpunan Agung pada 5 hingga 7 Disember, katanya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang baharu seperti berikut:

Perlis                      : Datuk Seri Shahidan Kassim (Pengerusi)
: Azlan Man (Timbalan Pengerusi)

Kedah                       : Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
: Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah

Pulau Pinang                : Datuk Zainal Abidin Osman
: Datuk Reezal Merican Naina Merican

Perak                       : Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Selangor                    : Datuk Seri Noh Omar
: Abdul Syukur Idrus

Wilayah Persekutuan         : Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Negeri Sembilan             : Datuk Seri Mohamad Hasan
: Datuk Hasan Malek

Melaka                      : Datuk Idris Haron
: Datuk Abd Ghafar Atan

Johor                       : Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
: Datuk Abdul Latif Ahmad

Pahang                      : Datuk Seri Adnan Yaakob
: Datuk Mohd Sharkar Shamsudin

Terengganu                  : Datuk Seri Ahmad Said
: Datuk Jailani Johari

Kelantan                    : Datuk Seri Mustapa Mohamed
: Datuk Noor Zahidi Omar

Sabah                       : Datuk Seri Musa Aman
: Datuk Seri Salleh Said Keruak



- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment