Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, November 22, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia (PKMTM) akan mengadakan Perhimpunan Waris Keturunan Orang Kaya Bendahara Megat Terawis di Kolej Melayu Kuala Kangsar Perak pada 15 Disember ini.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, perhimpunan itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-10 persatuan tersebut yang ditubuhkan pada 19 Disember 2003.

“Perhimpunan ini akan menghimpunkan seluruh waris keturunan Orang Kaya Bendahara Megat Terawis Perak.

“PKMTM adalah sebuah persatuan keluarga yang keahliannya dikhususkan bagi mereka yang sahih berketurunan Megat Terawis – Bendahara Perak yang pertama,” katanya dalam satu kenyataan media.

Megat Najmuddin berkata, perhimpunan itu antara lain bertujuan mengemas kini maklumat waris-waris keturunan Orang Kaya Bendahara Megat Terawis Perak untuk dimasukkan ke dalam daftar salasilah.

Paling menarik, katanya, carta salasilah besar yang memuatkan susur-galur 18 generasi Orang Kaya Bendahara Megat Terawis Perak akan dipamerkan buat tatapan umum.

Selain daripada majlis perhimpunan keluarga, pihak persatuan juga akan mengadakan satu pertandingan golf melibatkan pertembungan pertandingan tiga penjuru antara waris-waris tiga kerabat aristokrat Melayu Perak – kerabat Megat, kerabat Syed dan kerabat Raja.

“Sekiranya anda seorang pemain golf yang berasal dari mana-mana keluarga yang disebutkan ini, anda dipelawa untuk menyertai pertandingan tersebut,” katanya.

Sejak tertubuhnya Kesultanan Melayu Perak pada tahun 1528, gelaran Orang Kaya Bendahara diwarisi secara turun-temurun bagi waris keturunan Megat Terawis.

Selain daripada peranan sebagai salah satu keluarga aristokrat Melayu di negeri Perak, keluarga ini mempunyai satu tradisi yang unik di mana waris lelaki menggunakan nama-gelar ‘Megat’ di pangkal nama masing-masing dan ‘Puteri’ bagi waris-waris perempuan.

Bagi waris-waris ‘Puteri’ yang berkahwin dengan lelaki yang tidak bernama-gelar, mereka menggunakan nama-gelar ‘Tun’ di pangkal nama masing-masing.

Amalan penggunaan nama-gelar ‘Megat’, ‘Puteri’ dan ‘Tun’ masih diamalkan oleh keluarga ini sejak turun-temurun sehingga ke hari ini.

0 comments:

Post a Comment