KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa Cina dan Indonesia bakal mengatasi Malaysia dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) menjelang tahun 2020.
Beliau membuat dakwaan itu berdasarkan kedudukan dan skor untuk 177 buah negara dalam CPI TI 2013 serta rekod 19 tahun CPI TI iaitu dari tahun 1995 hingga 2013.
“Tiada sebab dan asas untuk sesiapa percaya sasaran Malaysia untuk memasuki senarai 30 teratas dalam CPI TI pada tahun 2020 realistik dan mampu dicapai.
“Malah, menjelang tahun 2020 Malaysia mungkin dipintas Cina dan Indonesia daripada segi kedudukan dan skor CPI TI,” dakwanya melalui satu kenyataan media semalam.
Kit Siang mendakwa, dalam CPI TI pertama pada tahun 1995, Malaysia berada ditangga ke-23 daripada 41 buah negara dengan memperoleh skor 5.28 daripada 10.
Manakala, Cina dan Indonesia pada tahun itu ditangga dua terakhir dengan skor CPI masing-masing 2.16 dan 1.94 daripada 10 (pada peratusan 90 terbawah bagi skor CPI).
Bagaimanapun, dakwanya, Malaysia menjadi salah sebuah negara yang kedudukan dan skornya dalam CPI TI merosot dan dipintas negara yang mendapat kedudukan dan skor CPI lebih rendah pada tahun 1995 sejak 19 tahun lalu.
Malah, dakwanya, Malaysia kini berdepan kemungkinan dipintas oleh negara-negara yang berada di kedudukan terbawah dalam CPI pada tahun 1995 iaitu Cina dan Indonesia.
Justeru, dakwanya, Malaysia perlu bimbang kerana berdasarkan trend itu, Malaysia mungkin dipintas oleh Indonesia dan Cina sebelum tahun 2020.
Bagaimana Malaysia hendak menjaga air muka jika dunia melihat Malaysia lebih rasuah daripada Indonesia dan Cina,” soal beliau.
0 comments:
Post a Comment