BANGKOK – Sejumlah penunjuk perasaan antikerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra membersihkan jalan raya di Ratchadanoen di sini semalam.
Para penunjuk perasaan itu melakukan kerja-kerja pembersihan selepas jalan raya itu dicemari dengan sampah akibat tunjuk perasaan sebelum ini.
Tunjuk perasaan bagi meminta Yingluck meletakkan jawatan itu berakhir buat seketika sejak semalam bagi menghormati hari keputeraan kali ke-86 pemerintah Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej.
Sambutan hari keputeraan itu akan bermula pada hari ini.
Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra mengarahkan beberapa buah trak air dan sampah dihantar bagi membantu para penunjuk perasaan itu membersihkan jalan raya.
Tunjuk perasaan itu bermula sejak 24 November lalu bagi meminta Yingluck meletakkan jawatan kerana beliau dianggap sebagai boneka abangnya, Thaksin Shinawatra yang juga bekas perdana menteri yang digulingkan tentera pada tahun 2006.
Thaksin yang merupakan seorang bilionair kini hidup dalam buangan bagi mengelak menjalani hukuman penjara selama dua tahun akibat kesalahan rasuah di Thailand.
Beberapa pihak menyumbangkan penyapu dan peralatan pembersihan lain kepada para penunjuk perasaan itu.
Menurut akhbar Bangkok Post, sebuah kumpulan lain turut membersihkan Kementerian Luar yang sebelum ini pernah diduduki para penunjuk perasaan.
Dalam pada itu, sejumlah lagi penunjuk perasaan memasuki ibu pejabat polis di Bangkok.
Namun, mereka kemudian meninggalkan ibu pejabat tersebut selepas mendudukinya buat seketika.
Yingluck turut kembali bertugas seperti biasa di pejabatnya selepas keadaan di Bangkok tenang buat seketika setelah satu siri tunjuk perasaan antikerajaan dilakukan.
Namun, beliau membuat kenyataan dengan meminta ketua penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban perlu menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Suthep yang merupakan bekas timbalan perdana menteri mengetuai tunjuk perasaan antikerajaan bagi menggulingkan Yingluck. – Agensi
0 comments:
Post a Comment