SHAH ALAM – Kenaikan 15 peratus tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dan 17 peratus di Sabah dan Labuan yang bakal berkuat kuasa awal bulan depan tidak kena pada masa dan membebankan rakyat marhaen.
Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, pengumuman kerajaan Pusat ini tidak kena pada masanya dan dipercayai membebankan rakyat ekoran kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini.
“Peratus kenaikan yang bakal dilaksanakan agak tinggi, sedangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memonopoli secara keseluruhan konsesi penyaluran tenaga elektrik di negara ini dan ia syarikat yang menguntungkan.
“Umum maklum perbelanjaan mengurus sangat tinggi namun kenaikan itu lebih kepada mengaut untung. Pada pendapat saya tidak kena masa, rakyat marhaen dibebani kenaikan petrol RON95, gula dan bakal berdepan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau yang juga Adun Kota Alam Shah turut menggesa agar perbelanjaan TNB diaudit semula kerana kenaikan tarif elektrik disifatkan menggunakan cara yang salah.
“Bagaimanapun, kerajaan Selangor akan berusaha berasaskan aspirasi golongan marhaen. Kerajaan negeri mampu mengawal dan mempertahankan hak rakyat dengan keupayaan memberi 20 meter padu air percuma.
“TNB bukan syarikat swasta sebaliknya anak syarikat kerajaan persekutuan (GLC). Oleh yang demikian, kenaikan ini wajar dikaji semula dengan memikirkan bebanan rakyat,” katanya.
Senada dengan reaksi ini, Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sewajarnya kerajaan pusat mengkaji semula kenaikan tarif elektrik kerana ia merupakan keperluan asas rakyat sama seperti air dan rumah.
“Kalau mahu naikkan juga biarlah berpatutan. Memandangkan subsidi yang diberikan begitu besar sewajarnya rakyat mendapat imbuhan terbaik namun sebaliknya pula yang berlaku.
“Kerajaan harus bela nasib rakyat bukan mengayakan syarikat gergasi dan saya harap kenaikan ini difikir dan dikaji semula,” katanya.
0 comments:
Post a Comment