Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, September 18, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank, yang disenarai hitam kerana didakwa gagal melunaskan pinjaman pendidikan, hari ini gagal dalam usahanya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen menolak samannya terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Zakaria Sam menolak di dalam kamarnya rayuan Mandeep Singh untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen menolak samannya terhadap PTPTN.

Peguam Abdul Malik Hakim yang mewakili Mandeep memberitahu pemberita bahawa hakim itu juga memerintahkan anak guamnya membayar kos RM3,500 kepada PTPTN.

Abdul Malik berkata, beliau sedang menunggu keputusan anak guamnya sama ada ingin merayu terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Pada 30 Mei tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Unaizah Mohd menolak saman pegawai bank itu setelah memutuskan bahawa plaintif (Mandeep) gagal membuktikan dakwaannya terhadap PTPTN.

Pada 20 Sept 2011, Mandeep menyaman PTPTN kerana mendakwa memfitnah dan menyebabkannya ditangkap secara salah selepas dia disenarai hitam kerana didakwa gagal melunaskan pinjaman pendidikan.

Nama Mandeep dimasukkan ke dalam senarai hitam PTPTN pada Disember 2010 kerana gagal menjelaskan bayaran tunggakan pinjamannya.

Mandeep, 28, mendakwa mengikut perjanjian pinjaman pendidikannya bertarikh 9 Nov 2006, PTPTN bersetuju memberi pinjaman RM48,000 kepadanya.

Dia mendakwa ditahan pegawai imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 6 Julai tahun lepas ketika menunggu penerbangan ke Guangzhao, China untuk bercuti.

Ketika menahannya, pegawai imigresen memberitahu Mandeep bahawa namanya dimasukkan ke dalam senarai hitam pangkalan data Jabatan Imigresen.

Mandeep mendakwa kejadian itu menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai dan mencemar nama baiknya.

Pegawai bank itu mendakwa PTPTN tidak mengeluarkan namanya daripada pangkalan data berkenaan walaupun dia memaklumkan kepada perbadanan itu supaya berbuat demikian.

Mandeep menuntut RM19,000 sebagai ganti rugi khas bagi tiket penerbangan dan tempahan bilik hotel, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment