Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, November 17, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Mereka yang terlibat dalam Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) wajar dianggap sebagai penjenayah dan penderhaka kepada negara ini, kata Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali.

Hasan berkata, Comango yang mahu mengubah corak dan bentuk hidup umat Islam negara ini supaya menjalani kehidupan songsang melalui tuntutan mereka melalui Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merupakan satu tindakan jahat.

“Jati memberi amaran jika perkara ini (Comango) tidak dibendung boleh menyebabkan negara jadi porak peranda dan kemungkinan berlaku pertelagahan akibat kepentingan golongan anti Islam terbabit. Kehancuran akan terbentang di hadapan kita.

“Manusia seperti ini tidak harus diberi ruang menikmati kehidupan selesa dalam negara. Mereka ibarat gunting dalam lipatan yang berpijak di bumi ini tetapi berpayung di tempat lain. Dengan apa yang mereka lakukan amat wajar mereka “diperangi”. Malaysia tidak memerlukan rakyat seperti ini,” katanya melalui satu kenyataan media.

Hasan yang juga bekas pemimpin PAS berkata, tuntutan Comango itu ternyata mencela Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa golongan bumiputera terutama kaum Melayu serta mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Liberal `berkiblat’ barat atas nama hak asasi manusia.

Beliau berkata, Comango mahu menjadikan Malaysia sebuah negara `syurga’ murtad dengan memberi kebebasan kepada setiap rakyat meninggalkan agama yang mereka anuti serta menghalalkan amalan lesbian, biseksual, gay dan transgender (LBGT) dan Syiah di negara ini

“Antara permohonan mereka yang paling biadap adalah memansuhkan undang-undang jenayah Syariah,” katanya.

Justeru, katanya, Jati menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati meremehkan Perlembagaan Persekutuan, enakmen negeri dan keputusan majlis fatwa.

“Bagi umat Islam dan Melayu yang berkepentingan dalam Comango pula, Jati menyeru mereka memahami bahawa tindakan mereka tidak memberi sebarang faedah kepada Islam dan kaum sendiri sebaliknya mengundang kemurkaan Allah dan menghancurkan umat Melayu,” tegasnya. 

0 comments:

Post a Comment