Barang di dapur didapati disusun dengan tidak kemas dan bersepah.
Pegawai kesihatan memeriksa sistem tapisan sisa minyak di dapur hotel.
Barang mentah dalam peti sejuk turut diperiksa.
GEORGETOWN - Sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Bukit Mertajam, di sini diarahkan tutup serta-merta berikutan keadaan dapur hotel yang kotor dan menjijikkan.
Lebih teruk apabila dalam operasi yang dilakukan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu, turut menemui kesan gigitan tikus pada bungkusan mi kuning.
Malah, ada stor dapur yang dipenuhi dengan najis tikus yang begitu banyak.
Timbalan Pegawai Kesihatan Kanan JKNPP, Dr T Vashanta berkata, antara kesalahan lain termasuk kakitangan hotel tidak mengamalkan kebersihan diri.
“Ada di antara pekerja di dapur hotel tidak menjalani kursus pengendalian makanan termasuk tidak mendapat suntikan kepialu,” katanya pada sidang media di Komtar, semalam.
Kira-kira 19 hotel yang agak terkenal di sekitar Tanjung Tokong, Georgetown dan Seberang Perai juga diserbu dalam operasi yang bermula jam 8 pagi kelmarin.
26 kompaun dikeluarkan Hampir semua hotel berkenaan mempunyai tahap kebersihan yang rendah walaupun ruang makannya cukup cantik.
Vashanta berkata, sebanyak 26 kompaun dikeluarkan dengan jumlah RM2,780.
Menurutnya, hotel di Daerah Timur Laut menerima kompaun paling tinggi iaitu sebanyak RM1,050.
“Ada di antara hotel yang turut menggunakan surat khabar lama untuk membungkus sayur dan ada juga yang tidak tutup makanan untuk dihidangkan kepada pelanggan,” katanya.
Dalam masa sama, JKNPP turut memberi amaran kepada 110 hotel di seluruh negeri ini berikutan operasi akan dijalankan setiap masa tanpa mengira waktu.
Operasi akan dijalankan di semua hotel tanpa mengira taraf hotel berkenaan.
Peka isu kebersihan
Vashanta turut mengingatkan pengguna untuk sentiasa peka dengan kebersihan sesebuah premis makanan sebelum menikmati hidangan bagi mengelakkan sebarang penyakit termasuk keracunan makanan.
Selain dari premis yang bersih, pengguna perlu memilih pengendali makanan yang mengamalkan ciri kebersihan seperti memakai apron dan penutup kepala.
“Orang ramai juga boleh membuat aduan sekiranya ada premis tidak bersih dengan menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278,” katanya.
0 comments:
Post a Comment