Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 31, 2014

No Comment

ASTANA (Kazakhstan) – Kazakhstan, yang penduduknya mengalami penderitaan amat dahsyat kerana menjadi mangsa penggunaan senjata nuklear selama 40 tahun, mengajak masyarakat antarabangsa menyertai kempennya membebaskan dunia daripada senjata itu.

Sejajar dengan itu, Kazakhstan melancarkan ‘ATOM Project’, pendidikan dan petisyen secara dalam talian sebagai kempen menentang ujian dan penggunaan senjata nukelar pada 29 Ogos 2012. ATOM adalah singkatan bagi “Abolish Testing, Our Mission” (Menghapuskan Ujian adalah Misi Kami).

Duta Kehormat ATOM Project Karipbek Kuyukov berkata projek itu merupakan inisiatif penting dan menjadi peringatan kepada masyarakat manusia agar sentiasa berjaga-jaga dan menentang ujian serta penggunaan senjata nuklear.

“Kita perlu mendidik manusia tentang isu ini serta menyedarkan mereka tentang kesan buruk daripada ujian dan senjata nuklear…di samping memastikan apa yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, tidak berulang,” katanya di luar acara Kongres Sedunia Pakar Fizik Antarabangsa bagi Mencegah Perang Nuklear Ke-21 di sini.

Kuyukov adalah seorang daripada berpuluh ribu manusia yang menerima akibat buruk daripada tindakan Soviet Union melakukan ujian senjata nuklear di Timur Kazakhstan dari 1949 hingga 1989.

Beliau dilahirkan pada 1968 di sebuah kampung bernama Egindybulak di wilayah Karaganda, kira-kira 90km dari tapak ujian nuklear Semipalatinsk (kini dikenali sebagai Semey). Kuyukov dilahirkan dengan tidak mempunyai tangan.

Kuyukov berkata beliau berkempen menentang senjata nuklear sepanjang hayatnya kerana senjata dahsyat itu turut membawa penderitaan kepada keluarganya.

“Banyak orang dalam hidup saya meninggal dunia akibat radiasi daripada ujian nuklear.

“Saya dilahirkan di zon ujian nuklear. Walaupun saya dilahirkan dengan tidak mempunyai tangan, tetapi saya memiliki semangat dan kekuatan untuk menyeru dunia supaya menghentikan program pembangunan senjata nuklear,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan Saintifik Kebangsaan Kazakhstan Dr Abay K. Baigenzhin berkata negaranya merupakan antara peserta paling aktif dalam pergerakan menentang senjata nuklear.

Katanya Kazakhstan mengambil langkah yang belum pernah dilakukan mana-mana negara iaitu menyerahkan senjata nukelar secara sukarela apabila ia mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union pada 1991 untuk dijadikan teladan oleh seluruh dunia.

Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev mengeluarkan perintah agar poligon ujian nuklear Semipalatinsk ditutup pada 29 Ogos 1991. Susulan itu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 29 Ogos sebagai Hari Antarabangsa Menentang Nuklear, yang kini disambut setiap tahun.

Dr Abay berkata mereka melalui pengalaman yang mengerikan dan menemui kesimpulan bukan sahaja dari segi teori, tetapi juga melihat sendiri penderitaan dan tragedi yang menimpa beribu-ribu manusia tidak bersalah daripada beberapa generasi.

“Tanpa sebarang sebab, manusia dijadikan tebusan. Mereka menjadi mangsa kepada cita-cita gila ahli politik apabila senjata nuklear dijadikan alat perlindungan yang sebenarnya, langsung tidak masuk akal. Kami yakin, hakikat ini lama kelamaan akan disedari bukan sahaja di Kazakhstan,” katanya.

Lebih 500 wakil dari 44 negara menyertai kongres itu, yang bertemakan “Daripada Pengharaman Ujian Nukelar kepada Dunia Bebas Senjata Nuklear: Pelucutan Senjata, Keamanan dan Kesihatan Sejagat pada Abad Ke-21″.

Ia bermula dengan kongres untuk pelajar selama dua hari pada Isnin, manakala acara utama kongres dunia IPPNW selama tiga hari bermula pada Rabu. Semalam, peserta kongres itu melakukan tinjuan khas sepanjang hari di Semey dan bandar Kurchatov, yang menjadi tapak ujian nuklear.

Bersempena sambutan Hari Antarabansga Menentang Nuklear pada 29 Ogos, wakil daripada 17 negara mengambil bahagian dalam satu acara khas iaitu sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Pergerakan Antinuklear Antarabangsa (IAM) “Nevada-Semey” di Semey pada Jumaat. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment