Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 30, 2014

No Comment

1. Alhamdulillah, segala puji dan rasa syukur, dirafakkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran dengan kehendak dan keredhaan-Nya jua, kita sekali lagi, tidak kira di mana ceruk mahupun rantau tanahair bertuah ini, masih terpelihara dalam keadaan aman, untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan.

2. Tidak seperti tahun-tahun yang sudah, di mana perutusan selalunya dibuat secara rakaman dan kemudian dipancar ke kaca-kaca televisyen, malam ini, saya memilih untuk berucap secara langsung kepada ratusan hadirin di ambang merdeka ini, sebagai menzahirkan semangat patriotik dan obor perjuangan negara bangsa, dari mata ke mata, hati ke hati, khususnya kepada saudara dan saudari sebagai sebahagian rakyat Malaysia yang berada di sini.

3. Hakikatnya, setiap kemerdekaan itu bermula dengan sebuah perjuangan murni dan pengorbanan yang tiada tandingnya, termasuklah daripada pihak Raja-Raja Melayu dan istana, para pemimpin politik dan rakyat keseluruhan.

4. Dalam hal ini, jika dihimbau sejarah silam negara, kita telah dijajah selama empat setengah kurun, bermula daripada kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 hingga kepada pentadbiran Inggeris. Semenjak itulah, penjajah datang silih berganti, mengaut hasil dan menindas masyarakat peribumi, sehingga menyinsingnya fajar kemerdekaan, pada 31 Ogos 1957.

5. Mengenang sejarah, setiap orang perlu beringat bahawa negara ini berasal sebagai Persekutuan Tanah Melayu. kemudiannya, bergabung dengan Sabah dan Sarawak.

6. Merujuk episod ini, kita mendengar desas-desus serta suara-suara tidak menyenangkan, yang mempersoal mengapakah tarikh pembentukan Malaysia tidak pula sama dengan tanggal kemerdekaan, kenapa 16 September, sedangkan Semenanjung 31 Ogos?

7. Dalam perkara ini, kita perlulah mengkaji apakah sebenarnya yang telah diusahakan oleh sebuah Suruhanraya khas yang bertanggungjawab untuk mengadakan pungutan suara terhadap penduduk di Sabah dan Sarawak dalam proses penubuhan Malaysia ketika itu.

8. Untuk pengetahuan ramai, kelewatan tarikh tersebut telah berlaku di atas sebab teknikal, kerana, pihak Suruhanjaya Cobbold perlu menunggu pengesahan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan majoriti persetujuan melalui referendum sebelum memuktamadkan laporannya. Justeru, tarikh 16 September telah ditetapkan sebagai pembentukan hari Malaysia.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

9. Bertolak dari situ, tahun ini, kita meraikan sambutan kemerdekaan kali ke-57, sekaligus tahun ke-51 Sabah dan Sarawak bersama-sama kita sebagai sebuah Malaysia. Dirgahayu Malaysia, Dirgahayu Malaysia!

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

10. Sememangnya lagi, kita bersyukur kerana kebersatuan bersejarah antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan itu, telah mengukir jutaan rahmat dan ingin ditegaskan cinta kasih serta tali persaudaraan seluruh rakyat Malaysia bertitik tolak dari Arau Perlis, membawa hingga ke Semporna Sabah dan ke penghujung Ulu Lachau Sarawak, tidak mungkin dapat dipisahkan, bahkan InsyaAllah, akan kekal utuh ibarat rambut bersimpul mati.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

11. Justeru, sebaik sahaja selesai dan rampungnya Pilihanraya Umum ke-13 tahun lalu, sebagai perlambangan atau simbolis mandat baharu yang Kerajaan terima, tanpa berlengah-lengah lagi saya melantik sejumlah besar Menteri dan Timbalan Menteri di kalangan pimpinan dari Sabah dan Sarawak sebagai satu penghormatan terhadap sokongan padu saudara dan saudari kita di sana terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

12. Kini lebih setahun telah pun berlalu, keanggotaan para wakil rakyat Sabah dan Sarawak dalam Kerajaan menjadi perhitungan penting, dalam mengorak halatuju selanjutnya Malaysia yang tercinta.

13. Ini turut saya pertegaskan dalam ucapan-ucapan utama saya sepanjang setahun lebih yang lalu bahawa Kerajaan yang mentadbir pada hari ini mempunyai tanggungjawab cukup besar demi mendahulukan kepentingan rakyat terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam yang mewakili lebih 70 peratus rakyat Malaysia menjelang tahun 2020.

14. Makanya, sekali apapun yang cuba digoyahkan oleh pihak pembangkang, seandai apapun yang mereka ingin mengadu-dombakan, tidak kira tohmahan apa yang dilemparkan, agenda memperkasakan pembelaan rakyat akan tatap dipertahankan.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

15. Menghimbau lipatan tawarikh pra-merdeka, ramai pihak merasa sangsi akan ehwal kemampuan kita dengan kepelbagaian yang begitu rencam untuk merdeka dan memilih jalan sendiri. Namun ternyata kemajmukan masyarakat ini telah kita jadikan sebagai aset meniti kemakmuran sehinggakan bukan sahaja setakat menerima dan saling wujud antara satu sama lain, hatta meraikannya ke peringkat tertinggi sebagai ramuan kejayaan.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

16. Kita mengatur sebanyak-banyak kepada Tuhan, negara ini telah berjaya berhadapan dengan seribu liku dan pancaroba yang penuh tantangan. Sepanjang tempoh itu, telah terpancar wajah kemerdekaan hakiki, yang jika dilihat dari segala sudut, merangkumi aspek merdeka hati, merdeka jiwa, merdeka semangat dan merdeka meraikan kemajmukan. Sehinggalah kita mampu meniti batas dan permatang kesejahteraan dengan jayanya menurut acuan sendiri. Tahniah Rakyat Malaysia!

Tahniah Rakyat Malaysia!

17. Umpamanya, sewaktu negara mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan adalah pada tahap lebih 60 peratus. Kemudiannya, ia menyusut kepada 1.7 peratus pada tahun 2012, di mana kemiskinan tegar kini hampir disifarkan kesemuanya.

18. Apabila saya mengambil alih tampuk pemerintahan dan pentadbiran negara pada tahun 2009, diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, berlandaskan pula Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Kerangkanya merangkumkan keseluruhan agenda besar transformasi negara, yang dimulai dengan Program Transformasi Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP.

19. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun ini, kita telah meraih pelbagai kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang mana saya telah digariskan dalam pelbagai ucapan dan laporan.

20. Mutakhir ini, ekonomi negara sekarang telah menunjukkan trend yang memberangsangkan dalam tempoh suku kedua 2014 dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK sebanyak 6.4 peratus, berbanding 4.5 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2013, iaitu rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku keempat 2012. Ini menjadikan pencapaian kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara-negara ASEAN bagi separuh tahun pertama 2014.

21. Kesimpulannya, kita telah berjalan jauh dan didewasakan oleh waktu daripada sebuah negara pertanian, hanya sekitar 6 dekad yang lalu kepada sebuah negara membangun kini sedang mendepani kelok untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi yang dijangka lebih awal dari waktunya.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

22. Apa yang mustahak, kita tidak boleh sesekali alpa, semua yang dikecapi pada hari ini tidak berlaku dengan semena-mena atau dengan sendirinya. Semuanya diperoleh berkat usaha para pemimpin lampau dan bapa-bapa pendahulu hinggalah ke era Kerajaan yang ada hari ini.

23. Sebenarnya, dalam ikhtiar kita menjadi bangsa mulia lagi berjaya, apa saja musibah dan gelora yang menduga, sewajarnya kita jadikan sebagai cabaran. Sebagaimana mafhum pengertian firman Allah SWT bahawa, Tuhan tidak memberi dugaan, kepada sesuatu pihak yang tidak tertanggung oleh mereka. Terbukti, Malaysia mampu menempuh dan mengatasinya dengan cara, pendekatan serta santun kita tersendiri.

24. Kita turut berupaya keluar daripada pelbagai kemelut dan menangani cabaran yang melanda dengan jaya antaranya, peristiwa darurat, menghapuskan serangan gerila Komunis Malaya, tragedi hitam 13 Mei 1969, penyusunan semula masyarakat dan ekonomi negara, sehingga dihormati sebagai negara Islam moden dan progresif lagi dicontohi oleh negara-negara lain di dunia.

25. Berkait itu juga, masihkah kita ingat peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada tahun lepas? Insiden yang telah mengorbankan nyawa para perajurit tanahair? Syukur kepada Allah, kesemua serangan itu berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan kita di sana, yang sekarang ini di bawah penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM.

26. Sehubungan itu, kita berasa tidak senang dan hairan dengan sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan menangguk di air keruh, mempertikaikan pula pengiktirafan Kerajaan kepada para perajurit dan anggota keselamatan.

27. Apa yang ingin pihak Kerajaan jelaskan, usahlah diperbanding-bandingkan, tentang penghormatan tertentu yang diberikan kepada mangsa tragedi MH17 bahawa kononnya kenapakah istiadat tertinggi sedemikian tidak diwajarkan juga kepada para perajurit dan anggota keselamatan dalam peristiwa Lahad Datu.

28. Tentunya hasutan tersebut adalah memesongkan dengan niat yang tidak baik. Jelasnya, sekali lagi saya menegaskan bahawa jasa para wira negara ini akan sentiasa disanjung tinggi dan mendapat tempat utama dalam kenangan bakti yang telah dicurahkan.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

29. Sudah menjadi lumrah dan kelaziman manusia serta kejadian hidup, musim hujan kepanasan, musim panas kehujanan. Sekalipun tahun ini beberapa tragedi di luar jangkaan telah berlaku, merentap dan menyentap perasaan kita, namun, kita semua harus tabah serta cekal dalam menempuh perjalanan yang jauh lebih mencabar ini.

30. Makanya, kita perlu menghadapinya dengan tenang dan tabah serta berusaha sedaya mungkin bagi menguruskan krisis yang terjadi.

31. Bahawa 2014, tahun yang sangat menguji kita, apabila dikejutkan dengan tragedi tidak terduga, misteri kehilangan pesawat MH370 dan peristiwa tragik pesawat MH17 yang terhempas di kawasan Timur Ukraine. Kedua-dua pesawat itu, milik syarikat penerbangan negara atau MAS.

32. Masih segar dalam ingatan saya ketika itu, bagaimana kita berhadapan dengan waktu-waktu mencabar dan rumit tersebut. Sehinggalah saya berjaya berunding, mencapai tiga persetujuan dengan pihak pemisah, yang menguasai kawasan kejadian tersebut antaranya:

Pertama: Membawa keluar semua mayat mangsa MH17, dari kawasan nahas.

Kedua: Memperolehi dua kotak hitam yang hanya diserahkan kepada Kerajaan Malaysia.

33. Tambahan pula, ketika menghadapi saat-saat kritikal dan mencemaskan itu, semua perundingan telah dilakukan dengan berhati-hati, termasuklah seperti yang telah saya sebutkan dalam bahasa Inggerisnya bahawa, sometimes we must work quietly in the service of a better outcome … yakni, adakalanya kita mesti bekerja secara senyap dalam perkhidmatan demi mendapatkan keberhasilan yang lebih baik, terutama ketika berhubung dengan ketua kumpulan pemisah, bagi memastikan mangsa-mangsa dapat dibawa pulang serta diberi penghormatan untuk disemadikan dengan sempurna.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

34. Makanya, pada hemat saya, setiap ujian yang ditakdirkan menimpa kita sebagai sebuah negara bangsa, sebetulnya tidak lain dan tidak bukan, dalam titian masa, menjadi persediaan serta menguji ketahanan kita sebagai bekal pedoman menuju destinasi Malaysia yang maju hingga ke puncak jaya.

35. Ehwalnya, dua peristiwa tragik ini diharapkan akan berlaku perubahan penting dalam industri penerbangan dunia. Keadaan ini di luar kebiasaan dan jarang berlaku. Saya mengerti, ini adalah tahun sukar bagi syarikat penerbangan MAS.

36. Justeru, untuk terus beroperasi, kita tidak banyak pilihan, melainkan melakukan penstrukturan semula secara komprehensif terhadap MAS. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya dapat memberikan sokongan atas 12 Pelan Pemulihan MAS seperti yang telah diumumkan.

37. Jelasnya, semoga semua kenangan pahit dan manis yang kita lalui bersama sebagai sebuah negara bangsa, tersimpan kukuh dalam lipatan khutub khanah tanahair.

38. Hakikatnya kita memang perlukan kepada sebuah syarikat penerbangan negara yang ampuh, berdaya saing, dengan mengambil ketetapan-ketetapan komersial tanpa mengorbankan kebajikan warga kerja serta berdaya maju.

39. Moga-moga berkat sokongan semua pihak, dalam beberapa tahun ini, InsyaAllah kita mahu terus melihat Malaysia Airlines System terbang tinggi dan megah di angkasaraya.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,



40. Marilah kita selami dan tanamkan semangat patriotisme dengan mencintai tanahair. Sesungguhnya, lambaian kemerdekaan mengundang dan melukiskan pelbagai pemaknaan dan pengertian buat kita semua sebagai warga merdeka.

41. Marilah juga semarakkan kemerdekaan ini dengan mengibar dan menaikkan Jalur Gemilang di seluruh negara. Pastinya, kita semua sangat mengerti akan nilai dan betapa bangganya apabila melihat panji negara berkibar gemilang.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

42. Ya memang benar memang benar ramai yang khabarkan kepada saya bahawa kita adalah negara kecil, namun berjiwa besar. Justeru, bagi merealisasikan impian itu, saya ingin utarakan 3 amanat penting merdeka, demi kesimbungan negara bangsa supaya terus gagah bersaing di persada antarabangsa iaitu:

43. Amanat Merdeka Pertama: Mengukuhkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi pahit getir cabaran, berdepan dengan dugaan, termasuk kebersatuan dalam kesedihan.

44. Sebagai contoh dalam istiadat penghormatan bagi 20 kumpulan pertama jenazah tragedi MH17, pada 22 Ogos minggu lepas dan diikuti oleh jenazah-jenazah mangsa yang lain secara berperingkat-peringkat, adalah Istiadat Penghormatan Tertinggi Negara yang tiada pernah diberi kepada orang awam.

45. Selain itu, kita dapat saksikan, begitu sugul rakyat Malaysia berkongsi duka nestapa. Kita bertafakur serentak selama satu minit di seluruh negara sebagai solidariti dan semangat kebersatuan demi membina satu Negara, 1Malaysia.

46. Pokoknya, saudara dan saudari, kita telah tunjukkan kebersatuan itu sewaktu Hari Berkabung di seluruh negara tempohari, dan kita akan teruskan semangat kebersamaan di kala senang mahupun tatkala dalam kesusahan, selamanya.

47. Amanat Merdeka Kedua: Memupuk keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa jua cita-cita sebagai sebuah negara bangsa jika wujudnya kebersatuan. Maksudnya, masa depan yang cerah akan menjadi milik semua, jika kita mempunyai ikhtiar-ikhtiar yang mantap dan hidup saling ganding-bergandingan, demi sebuah hasrat yang murni itu.

48. Sememangnya, mentadbir sesebuah negara adalah satu urusan yang kompleks dan bukanlah seperti sebuah organisasi biasa. Sebagai pucuk pimpinan kepada Kerajaan yang mentadbir hari ini, saya dan sahabat-sahabat akan terus membuat keputusan demi keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia berlandaskan keperluan, tuntutan dan kemampuan Kerajaan.

49. Amanat Merdeka Ketiga: Mewariskan sebuah Malaysia yang makmur lagi sejahtera. Maknanya, walau apa dugaan melanda, walau apa ujian melintang, kita akan terus mara dan melangkah ke depan, membina sebuah Malaysia yang permai bagi masa depan anak-anak cucu kita. Pucuk pangkalnya marilah sama-sama berusaha gigih menggapai kejayaan demi generasi dan keturunan hari muka untuk untuk tempoh 50 tahun atau lebih dari itu,100 tahun akan datang.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

50. Akhir kalam, saya mengajak saudara dan saudari khusunya yang hadir pada malam ini, berdirilah,berdirilah, dan bersama-sama saya, letakkan telapak tangan kanan di dada sebelah kiri, sebagai simbolis bertempatnya hati dan perasaan. Katakanlah,Katakanlah, bahawa, di sinilah lahirnya sebuah cinta, di sini tersemainya cita-cita yang luhur dan murni demi pertiwi, dan di sinilah kita pastikan ia terus menguntum dan mengharum di sanubari satu semangat patriotik yang marak menyala dan menjulang tinggi. Sesungguhnya jua kita semua adalah penyambung warisan

51. Ayuhlah,Ayuhlah,Ayuhlah,kita laungkan kata-kata keramat MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA,

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

0 comments:

Post a Comment