Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 30, 2014

No Comment

PETALING JAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Mohd Yusof mengesahkan penangguhan pelaksanaan transaksi 100 peratus elektronik dua plaza tol utama di Lebuh Raya Persekutuan dibuat selepas menimbangkan banyak faktor terutamanya kepentingan pengguna lebuh raya utama berkenaan.

Beliau berkata pihak kementerian telah mengarahkan pemegang konsesi, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) supaya menangguhkan pelaksanaan transaksi elektronik ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Selepas mendengar maklum balas dalam mesyuarat yang diadakan dengan Umno Selangor dan PLUS, pihak kementerian melihat ada asasanya untuk membuat penangguhan ini.

“Kita faham hasrat PLUS melaksanakan transaksi elektronik ini bagi memudahkan pergerakan trafik terutamanya lori yang menggunakan laluan di plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau. Justeru, saya telah mengarahkan agar pihak PLUS memberikan penerangan yang menyeluruh terlebih dahulu sebelum melaksanakan sistem berkenaan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Sabtu.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, pihak PLUS juga menyusun pelbagai program dengan menggalakkan penggunaan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go sebelum transaksi elektronik berkuatkuasa secara menyeluruh.

“Pada ketika ini, berdasarkan maklumat yang diperolehi, hampir 70 peratus pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Persekutuan telah menggunakan transaksi elektronik. Penangguhan ini bersifat sementara dan sebaik sahaja sesi penerangan selesai, kita akan maklumkan tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada Khamis, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa Kementerian Kerja Raya menangguhkan pelaksanaan transaksi elektronik 100 peratus plaza tol Batu Tiga dan Sungai Rasau yang sepatutnya berkuatkuasa 1 September ini.

Beliau dilaporkan berkata, penangguhan tersebut wajar dibuat kerana pengguna tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai kepentingan pelaksanaan transaksi elektronik 100 peratus di plaza tol tersebut.

Sementara itu, Lembaga Lebuh Raya (LLM) dalam satu kenyataan melaporkan penangguhan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengguna di dua plaza tol membiasakan diri dengan penggunaan kad transaksi elektronik terlebih dahulu sebelum sistem berkenaan dikuatkuasakan.

LLM berkata tujuan peralihan daripada transaksi tunai kepada elektronik ini juga dibuat bagi memudahkan syarikat konsesi melaksanakan program rebat atau diskaun yang hanya boleh didapati bagi mereka yang menggunakan transaksi elektronik sekaligus dapat mengurangkan beban pengguna lebuh raya. - mStar Online

0 comments:

Post a Comment