Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 30, 2014

No Comment

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia akan memantau secara terinci pelaksanaan ‘Pelan Penstrukturan Semula MAS’ yang diterajui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) supaya tidak menjejaskan kebajikan pekerjanya.

Menterinya, Datuk Richard Riot Anak Jaem berkata, satu mesyuarat khas telah diadakan baru-baru ini untuk mengetahui pelan strategik dan pelaksanaan Khazanah termasuk masa depan kakitangan.

Katanya, beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar.

“Saya berpuas hati dengan penjelasan beliau. Dalam kata lain MAS akan memastikan pekerja yang memilih untuk tidak kekal bersama MAS atau memilih untuk latihan semula kemahiran akan terjaga kepentingan mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Sijil Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu, di sini hari ini.

Semalam Khazanah mengumumkan 12 pakej pemulihan bagi membolehkan MAS kembali pulih dan mencatat keuntungan dalam tempoh tiga tahun.

Pelan pemulihan membabitkan suntikan dana RM6 bilion untuk MAS juga akan menyaksikan pengurangan 30 peratus atau 6,000 kakitangan syarikat penerbangan nasional itu daripada jumlah keseluruhan kira-kira 20,000 ketika ini.

Selain itu bermula 1 Julai 2015, MAS akan menjadi sebuah syarikat baharu dan akan memeterai kontrak dengan pembekal bagi terma yang saksama dan mengambil kira kesukaran kewangannya.

Mengulas lanjut Riot berkata, selain menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela(VSS), MAS juga akan menyediakan latihan kemahiran semula serta penempatan semula kakitangan termasuk di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di seluruh negara.

Katanya, selepas pelan pemulihan MAS itu dilaksanakan, hanya Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) akan mewakili dan memperjuangkan hak anggotanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment