Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, October 30, 2013

No Comment

PEMBACA budiman juga barangkali ada saudara-mara atau rakan-rakan yang trauma (baca: benci) politik.

Mereka tidak mahu langsung baca, tonton, dengar; apa lagi berbincang hal-hal berkaitan politik, kerana bagi mereka, politik itu kotor.

Saya pun kadang-kadang terfikir juga ke arah itu, tetapi masih memberi ruang dalam hati dan fikiran, kerana, seperti yang ramai daripada pembaca budiman faham, politik itu, sebenarnya, tidak kotor.

Yang kotor ialah tabiat mereka yang sanggup mengotorkan amalan politik untuk mencapai cita-cita mereka, walaupun perlu menghalalkan cara.

Apabila menyentuh hal politik, isu-isu paling mendapat tumpuan di negara ini pada masa ini tentulah yang berkaitan dengan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Yan, Kedah, yang sedang berlangsung dengan rancaknya.

Dua hari selepas kembalinya ke rahmatullah Adun kawasan itu, Tan Sri Azizan Abdul Razak, pada 26 September lalu, pemimpin-pemimpin parti politik kedengaran bercakap mengenai betapa baiknya Allahyarham sebagai seorang individu, wakil rakyat dan Menteri Besar Kedah.

Kata orang putih, ‘it goes without saying’ (diterima tanpa keraguan). Kalau beliau tidak baik dan tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan memuaskan, masakan pengundi kawasan itu mahu mengekalkan beliau sehingga lima penggal.

Malah, ada jaminan dalam kalangan orang politik di Kedah bahawa, atas asas itu, akan diusahakan supaya kempen PRK Sungai Limau berlangsung secara harmoni, bebas daripada fitnah, buruk memburuk dan asam garam politik yang memuakkan.

Tetapi, seperti kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee, dalam lagu evergreennya (dari filem Perjodohan - 1954): “Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”.

Dalam hal begini, orang kampung saya di Pulau Pinang (tidak jauh dari tempat tinggal seniman agung itu sebelum berhijrah ke Singapura), suka kata: “Tak sangka, cempedak dah jadi nangka!”.

Saya sebut begitu sebab selepas hari penamaan calon PRK Dun itu pada 23 Oktober lalu, mulalah timbul yang bukan-bukan.

Kunjungan calon Pas ke rumah Pak Baharom, bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir, di Kampung Sedaka, Yan, pada 24 Oktober lalu, menjadi ribut.

Dakwaan bahawa Baharom, 77, yang lumpuh sejak tiga tahun lalu itu, adalah ahli Pas dan mendoakan kemenangan calon Pas betul-betul menghangatkan suasana kempen. Jamil Khir, yang juga Ahli Parlimen Jerai, menyifatkan isu doa itu sebagai kempen bertaraf rendah.

Ketika kepanasan isu itu belum pun reda, timbul pula isu Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaitkan pemotongan subsidi gula dengan penyakit Azizan. Ia mencetus pula kemarahan orang Pas. Bahkan keluarga Allahyarham meminta timbalan perdana menteri memohon maaf. Semalam, Muhyiddin minta maaf.

Kemudian timbul pula dakwaan bahawa Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar, menyebar SMS kononnya calon BN pernah jalani rawatan sakit mental. Mahfuz bersumpah tidak melakukannya.

Tetapi, isu kontroversi paling panas dan menarik sepanjang kempen itu setakat ini ialah penggunaan logo mirip Sinar Harian dan gambar diubah suai dalam satu risalah kempen itu.

Gambar sebenar diambil ketika dua wakil Sinar Harian mengunjungi Azizan di pejabat beliau pada 25 Mei, 2011, tetapi diubah suai untuk menunjukkan kononnya calon Pas bersama wakil Sinar Harian bertemu Azizan. Siapa dalangnya belum dapat dipastikan setakat ini.

Hingga hari undi pada 4 November depan, entah kontroversi bentuk apa lagi yang akan muncul. Tunggu dan lihat!

Apa pun, dalam kebanyakan kempen, yang ketara ialah ada pihak mahu membuktikan kuasa dan pengaruh. Yang sedia berkuasa mahu menunjuk mereka boleh pertahankan kekuatan mereka, sementara yang mencabar mahu tunjuk mampu menembusinya. Wallahualam!

Tetapi kalau ada yang bermati-matian mahu menang dalam PRK Sungai Limau, seperti di tempat-tempat lain, dengan ikhlas mahu berkhidmat kepada masyarakat kerana ALLAH dan bukan untuk kepentingan lain, saya doakan mereka berjaya.

0 comments:

Post a Comment