Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, November 19, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) terus mengkritik Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas kerana didakwa gagal memainkan peranan berkesan dalam memperkasakan usahawan Melayu.

MTEM dalam satu kenyataan media berkata, perkara itu terbukti apabila rantaian kerja ‘Exploration & Production (E&P)’ skop untuk kerja-kerja `upstream’ seperti `Drilling & Completion’ dan `Seismic Monitoring’ Petronas masih dimonopoli syarikat asing.

“Manakala kerja-kerja Pembangunan seperti `Engineering, Design & Construction’ termasuk skop kerja `Hook Up Commissioning & Topside Major Maintenance’ yang baru dianugerahkan Petronas yang dahulunya banyak diberi kepada syarikat Bumiputera kini dikuasai syarikat tertentu sahaja.

“Lebih memburukkan keadaan apabila Petronas mewajibkan usahasama dengan syarikat asing. Akibatnya, syarikat-syarikat Melayu yang dahulunya begitu berjaya tiba-tiba terkeluar daripada senarai pendek Petronas,” dakwa kenyataan itu hari ini.

MTEM turut mendakwa Petronas sukar untuk mengiktiraf kepakaran tempatan antaranya khidmat ‘chemical fluid for deepwater drilling’ bernilai RM700 juta diberi kepada dua buah syarikat asing.

Manakala, khidmat ‘chemical fluid for shallow water drilling’ bernilai RM1.6 bilion hanya diberi kepada sebuah syarikat tempatan sedangkan masih ada beberapa syarikat Bumiputera mampu melaksanakannya.

Lebih teruk, terdapat syarikat Bumiputera yang telah membina kilang kimia di Gebeng, Kuantan menggunakan pinjaman bank didakwa hampir ‘gulung tikar’ apabila peluang mereka dinafikan Petronas.

Akibatnya, daripada 77 syarikat bertaraf Program Pembangunan Vendor (VDP) yang dilantik kini cuma tinggal 11 sahaja berikutan pengurusan penghapusan program VDP yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah.

“Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku diluar program VDP. Lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi ‘lampu hijau’,” dakwa MTEM.

MTEM turut mendakwa, Petronas cuma menganugerahkan kontrak RM10 bilion kepada enam syarikat tempatan selama lima tahun bagi projek ‘Pan Malaysia Integrated Offshore HUC/TMM’ baru-baru ini sedangkan bajet perbelanjaan Petronas sebanyak RM200 bilion.

Kata kenyataan itu, MTEM percaya masih banyak ruang untuk kontraktor dan pembekal Bumiputera memainkan peranannya di Petronas dan VDP perlu diperkuatkan dengan melanjutkan tempoh perlaksanaannya daripada cuma lima tahun kepada sekurang-kurangnya 10 tahun.

Justeru, kata kenyataan itu, MTEM berharap pengurusan Petronas lebih ikhlas dan yakin kepada kemampuan usahawan dan kontraktor minyak dan gas tempatan terutama dalam melaksanakan kerja-kerja yang jauh lebih teknikal dan rumit.

Keupayaan itu telah dibuktikan melalui kejayaan beberapa syarikat Bumiputera mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah menyiapkan projek-projek `upstream’ bersama syarikat minyak asing di Malaysia dan di luar negara.

“Mereka dihormati kerana kualiti kerja yang bermutu dan efisien serta tawaran harga yang kompetitif. Malang sekali apabila mereka sering di anaktirikan apabila berurusniaga di Malaysia,” dakwa kenyataan itu.

Sehubungan itu, MTEM berpendapat polisi baharu yang sedang direncanakan oleh pengurusan Petronas harus dirombak semula supaya kembali mengutamakan tenaga serta kepakaran Bumiputera dengan mengutamakan kebajikan syarikat tempatan.

“Penglibatan vendor Melayu dan Bumiputera dalam melaksanakan kerja-kerja di Petronas harus digandakan untuk mencapai agenda memperkasakan Bumiputera serta Wawasan 2020 sebagaimana yang diimpikan pemimpin negara dahulu dan sekarang,” kata kenyataan itu.

0 comments:

Post a Comment