Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, November 28, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) membantah cadangan kerajaan untuk menggantikan khidmat pengawal keselamatan swasta dengan polis bantuan atau polis sukarelawan (PVR).

Presidennya, Datuk Shahen Mirza Habib mendakwa, cadangan itu jelas bertentangan dengan Akta Agensi Persendirian 1971 yang memperuntukkan hanya syarikat berlesen dibenarkan memberi perkhidmatan kawalan keselamatan di negara ini.

“Sebagai entiti perdagangan, kawalan keselamatan yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat berlesen ini adalah tergolong dalam sektor perkhidmatan.

“Sejak sekian lama, perkhidmatan kawalan keselamatan oleh syarikat-syarikat ini juga digunakan oleh pelbagai sektor kerajaan,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Shahen Mirza dalam pada itu seolah-olah menyalahkan kerajaan berhubung isu tahap kualiti pengawal keselamatan swasta pada waktu ini dengan mendakwa masalah isu berpunca daripada nilai kadar harga perkhidmatan yang ditetapkan kerajaan.

Ia kerana kerajaan didakwa memberikan kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan tersebut kepada pembida yang menawarkan harga perkhidmatan paling murah menyebabkan syarikat terpilih cuma membekalkan pengawal berkualiti rendah dan memberi perkhidmatan tidak bermutu.

Justeru, katanya, kaedah terbaik, bagi mengatasi isu kualiti pengawal keselamatan adalah dengan menyemak semula dan mengubah sistem dan amalan pemberian kontrak kepada syarikat-syarikat.

Malah, dakwanya, PPKKM pernah membangkitkan perkara itu sebelum ini dengan mengesyorkan kepada semua kementerian dan agensi kerajaan tentang cadangan kadar harga yang sesuai iaitu RM9 sejam bagi seorang pengawal.

Beliau mendakwa, langkah itu bagi membolehkan syarikat kawalan keselamatan dapat menyediakan perkhidmatan yang berkualilti dengan menempatkan pengawal keselamatan mereka yang terlatih dan berdisplin.

“Amalan memilih kadar harga yang murah perlu dihentikan dan kerajaan perlu melihat aspek kapasiti dan keupayaan sesebuah syarikat bersandarkan kadar harga yang disyorkan oleh PPKKM tersebut,” katanya.

Shahen Mirza melahirkan keyakinan kadar harga perkhidmatan seperti yang disyorkan tersebut membolehkan perkhidmatan berkualiti dinikmati oleh orang ramai.

Media pada 27 November lalu melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji cadangan beberapa pihak supaya menggantikan khidmat pengawal keselamatan swasta dengan PVR khususnya di pejabat kerajaan dan kawasan perumahan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini mencadangkan agar khidmat pengawal keselamatan di semua pejabat kerajaan digantikan dengan polis bantuan bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.

0 comments:

Post a Comment