KIEV: Sebuah pesawat yang membawa cebisan mayat mangsa daripada penerbangan MH17 yang terhempas, tiba di Belanda semalam ketika pakar dari Malaysia menyertai penyiasatan antarabangsa di tempat kejadian di timur Ukraine.
Pesawat pengangkut tentera Belanda itu membawa sebuah keranda yang diisi dengan cebisan mayat yang dijumpai sejak beberapa hari lalu, selain DNA dan barangan yang disampan di bandaraya Donetsk.
Sebelum penerbangan semalam, 227 keranda sudahpun dibawa ke Belanda, yang mempunyai mangsa paling ramai dalam kejadian 17 Julai itu, bagi proses pengecaman.
Sejumlah 298 penumpang dan anggota kru terbunuh apabila jet Penerbangan Malaysia yang sedang berada di udara dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh kira-kira tiga minggu lalu.
Amerika Syarikat mendakwa pesawat terbabit ditembak jatuh oleh peluru berpandu bumi-ke-udara yang dibekalkan oleh Russia, namun sebaliknya Moscow dan pemberontak pula menuduh tentera Ukraine sebagai bertanggungjawab.
Semalam, pakar dari Malaysia menyertai pasukan polis Belanda dan Australia buat pertama kali bagi mencari kesan cebisan mayat mangsa.
Penyiasatan mengenai kejadian itu - pesawat kedua yang menghadapi bencana membabitkan Penerbangan Malaysia tahun ini - terpaksa ditangguhkan beberapa kali berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan kerajaan dan pemisah pro-Moscow.
Bunyi tembakan masih dapat didengar ketika pasukan berkenaan tiba dan pasukan pakar itu dihalang daripada memasuki kawasan yang dikuasai pemberontak terbabit, walaupun akhirnya mereka dibenarkan masuk.
Lebih 100 penyiasat dari Belanda, Australia dan Malaysia menjalankan usaha pencarian itu dengan menggunakan anjing pengesan di sekitar kawasan perkampungan Petropavlivka semalam, dan berjaya menjumpai barangan peribadi termasuk album gambar dan passport.
Pasukan pakar dari Malaysia mengadakan doa selamat di tempat kejadian bagi lebih 40 mangsa rakyat Malaysia termasuk anggota kru, kata ketua misi polis Belanda di Ukraine, Pieter-Jaap Aalbersberg.
Dalam kenyataannya yang dipos dalam Facebook, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berjanji bahawa mayat mangsa akan dibawa balik sebagai sahaja selesai proses pengecaman dan tugas forensik.
Sementara itu, tambahnya, usaha untuk mencari dan mengenal pasti mangsa tragedi MH17 itu akan diteruskan. - AFP

0 comments:
Post a Comment