Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, October 27, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali tidak dikenakan tindakan Akta Hasutan 1948 kerana beliau tidak berniat menghina dan menimbulkan provokasi yang membolehkan mengugat ketenteraman awam semasa membuat kenyataan membakar Bible yang mempunyai perkataan Allah.

Jabatan Peguam Negara menjelaskan, kenyataan Ibrahim itu tidak berniat menimbulkan kekecohan agama sebaliknya mahu mempertahankan kesucian agama Islam berikutan tindakan pihak tertentu mengedarkan Bible secara terbuka di luar perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong.

Lagipun, menurut Jabatan Peguam Negara, kenyataan Ibrahim tersebut hanya ditujukan kepada kejadian mengedar naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah kepada pelajar-pelajar SMK Jelutong termasuk pelajar Melayu.

Beberapa pemimpin pembangkang terutama DAP sebelum ini mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas Presiden Perkasa kerana didakwa membuat kenyataan menghasut umat Islam negara ini supaya membakar kitab Bible.

Berikut kenyataan penuh Jabatan Peguam Negara mengenai isu tersebut:

KENYATAAN MEDIA

Pada 21 Januari 2013, satu laporan polis telah dibuat melalui Bukit Tengah Repot: 856/2013 berkenaan kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Dato’ Ibrahim Ali yang menyeru umat Islam untuk merampas dan membakar salinan “Al-Kitab” yang mengandungi penggunaan perkataan Allah atau lain-lain perkataan Arab , dan juga mengandungi tulisan jawi.

Kenyataan tersebut telah disiarkan di dalam portal Free Malaysia Today bertarikh 19 Januari 2013 dengan tajuk “Burn Allah Bibles, Perkasa Chief to Muslims”. Kenyataan tersebut telah dibuat di sidang media selepas tamat Konvensyen Perkasa di UITM Pulau Pinang.

Sebelum kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Dato’ Ibrahim Ali itu, terdapat laporan media massa berhubung suatu laporan polis melalui Jelutong Repot: 552/13 tentang suatu kejadian pengedaran Bible kepada golongan pelajar di SMK Jelutong, Pulau Pinang.

Pada 17 Januari 2013 jam 1.00 petang, tiga orang lelaki Cina dikatakan telah mengedarkan sejumlah Bible (bersaiz poket dalam Bahasa Inggeris) kepada pelajar-pelajar SMK Jelutong, termasuk pelajar-pelajar beragama Islam di hadapan Sekolah berkenaan.

Susulan daripada kedua-dua laporan polis di atas, tindakan penyiasatan telah diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia. Kertas siasatan yang dibuka telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan lanjut.

Pada 17 September 2013, kertas siasatan berhubung pengedaran Bible seperti di dalam Jelutong Repot: 552/13 telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Kertas siasatan tersebut telah dikaji dan keputusan diberikan supaya kes ditutup (NFA) atas alasan bahawa tiada keterangan yang kukuh untuk menunjukkan Bible tersebut dikehendaki diedarkan kepada pelajar Melayu sahaja.

Apa yang berlaku adalah sesiapa sahaja boleh mengambil Bible tersebut daripada suspek-suspek berkenaan. Siasatan juga menunjukkan suspek-suspek tidak mempunyai niat untuk mengedarkan Bible kepada pelajar Melayu sahaja.

Oleh yang demikian, elemen di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 tidak dapat dipenuhi.

Seterusnya, pada 3 Disember 2013, kertas siasatan berhubung kenyataan Dato’ Ibrahim Ali seperti di dalam Bukit Tengah Repot: 856/2013 telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Kertas siasatan tersebut telah dikaji dan keputusan diberikan supaya kes ditutup (NFA) atas alasan berikut:

(i) kata-kata yang diucapkan oleh Dato’ Ibrahim Ali adalah seperti berikut:

“Emmm.. Diedar seperti semalam, saya menyeru pada orang Melayu yang beragama Islam, rampas….rampas dan bakar. Ini bukan sentimen ataupun nak menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi ini mempertahankan kesucian agama Islam yang telah jelas dalam undang-undang. Kita dah nasihat, kita dah merayu, kita dah desak mereka bertanggungjawab mengambil tindakan tetapi masih berlaku, dan kalau terus berlaku, saya hanya mengharap umat Islam rampas dan bakar. That only way. So I hope what happened last night is the last. So that kita nak avoid perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Tapi kalau berterusan, walaupun dia edar kepada aaaa… pelajar-pelajar bukan Islam, tetapi jangan setakat untuk pelajar-pelajar Islam tetapi juga untuk pelajar-pelajar bukan Islam. Walau kalau edar dalam versi bahasa melayu ada kalimah Allah, ada tulisan ayat-ayat jawi seperti semalam, kita akan rampas, kita minta orang Islam rampas dan bakar.”

“Yess…bible hanya perkataan yang apanii.. tulisan jawi yang boleh mengelirukan because tengok yang mengedar semalam pakai baju new testament apa…new testament ni maknanya bible versi baru, so we are kita we are not……for quarrel tapi kita terpaksa mempertahankan agama orang Islam. So untuk menyatakan perkara itu, saya merayu kepada semua pihak terutamanya mereka-mereka yang memang bertanggungjawab ini hentikan perbuatan mereka. Mereka kena tunjuk itu bible kepada pihak yang bertanggungjawab maknanya yang dibuat dalam bahasa melayu tetapi clear dari segi undang-undang baru boleh edar dan jengan menyentuh hal-hal yang menyentuh sensitiviti umat Islam.”

Kata-kata Dato’ Ibrahim Ali adalah ditujukan kepada kejadian individu-individu yang telah mengedar naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah dan juga tulisan Jawi kepada pelajar-pelajar di SMK Jelutong termasuk pelajar Melayu; dan

(ii) Kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Ibrahim Ali tidak terjatuh di bawah lingkungan definisi kecenderungan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948. Sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah, sebelum sesuatu kenyataan itu dikatakan mempunyai kecenderungan menghasut, kenyataan itu hendaklah dilihat secara keseluruhan dan tidak boleh dipisahkan daripada konteks di mana ia dibuat. Dato’ Ibrahim Ali membuat kenyataan itu di dalam konteks kejadian di SMK Jelutong. Apabila dikaji di dalam konteksnya secara keseluruhan kenyataan Dato’ Ibrahim Ali tidak tergolong sebagai kecenderungan menghasut.

Jelas Dato’ Ibrahim Ali bukan berniat untuk menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi hanyalah untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Hal ini boleh dilihat melalui ucapan beliau berbunyi:

“Ini bukan sentimen ataupun nak menimbulkan kekecohan agama tetapi ini mempertahankan kesucian agama Islam yang telah jelas dalam undang-undang.”

Elemen di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan juga tidak dipenuhi kerana Dato’ Ibrahim Ali tidak mempunyai niat untuk menghina dan menimbulkan provokasi yang membolehkan ketenteraman awam tergugat. Tiada juga kesalahan di bawah Seksyen 298 atau 298A Kanun Keseksaan yang telah dilakukan kerana Dato’ Ibrahim Ali jelas mempertahankan kesucian agama Islam. Tindakan pengedaran Bible secara percuma dan terbuka di luar perkarangan SMK Jelutong boleh menggugat akidah pelajar-pelajar Islam yang kurang pengetahuan agama mereka, jika mereka membaca Bible tersebut lebih-lebih lagi apabila ia mengandungi tulisan jawi.

Setelah mengambil kira fakta dan keterangan kedua-dua kes ini, Peguam Negara berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk kedua-dua kes ini dibawa ke Mahkamah.
JABATAN PEGUAM NEGARA
MALAYSIA
27 OKTOBER 2014

0 comments:

Post a Comment