Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, October 30, 2014

No Comment


PKPIM menyatakan kekesalan terhadap sikap dan tindakan para pemimpin Israel yang terus-menerus melakukan pencerobohan secara sistematik dan terancang ke atas bumi Palestin. Bukan sekadar itu sahaja, Israel kini sedang merencanakan usaha merampas Masjid al-Aqsa iaitu Tanah Suci ketiga umat Islam, dan juga merupakan tapak warisan peradaban antara tertua di dunia.

Kami merujuk kenyataan Jeffrey Feltman, Ketua Jabatan Perhubungan Politik Pertubuhan Bangsa Bersatu (United Nation Department of Political Affair – UN DPA) semalam yang menggesa Israel menghentikan rancangannya untuk membina 1000 lagi penempatan baharu di Timur Jerusalem. Menurut beliau, pembinaan penempatan baharu ini adalah pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan kontradik dengan pelan “two-states solution”.

Dalam masa yang sama, usaha penggalian bawah tanah di dalam kompleks Masjid al-Aqsa sedang giat dijalankan oleh pihak Israel. Beberapa insiden pencerobohan golongan ekstrimis agama Yahudi ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa juga semakin kerap berlaku. Lebih mengecewakan apabila pencerobohan ini direstui oleh pimpinan Israel dan disokong oleh pihak bersenjata Israel.

PKPIM mengutuk keras tindakan dan sikap angkuh para pimpinan Israel yang sesuka hati mencabuli undang-undang dunia. Sememangnya Israel terkenal dengan kesombongannya dan sewenang-wenangnya memperlakukan Palestin. Luka di hati masyarakat dunia masih belum sembuh pasca peristiwa serangan Israel ke atas Gaza beberapa bulan yang lalu, kini Israel mencipta onar lagi.

Pencerobohan seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah Palestin. Pada tahun 1994, di Bandar Al-Khalil (Hebron), Masjid Ibrahimi telah dicerobohi oleh seorang pelampau Yahudi yang masuk ke masjid dan melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan kematian puluhan jemaah yang sedang bersolat, manakala ratusan yang lain turut cedera. Apa yang berlaku kini, Masjid Ibrahimi di Bandar al-Khalil dibahagi kepada dua bahagian; satu bahagian untuk umat Islam, dan satu lagi untuk umat Yahudi.

Ini tidak dapat diterima akal. Orang Yahudi punya tempat ibadat yang tersendiri, mengapa menceroboh tempat ibadat penganut agama lain? Jelas, ini pencabulan terhadap prinsip dan hak kebebasan beragama yang sewajarnya dihormati secara bersama oleh seluruh penduduk dunia.

Justeru, PKPIM menyeru masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia amnya, untuk bersama-sama bersatu menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mempertahankan hak kaum tertindas. Penjajahan Israel ke atas Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang, dan Kuasa Besar dunia hanya mendiamkan diri sahaja atas kezaliman nyata yang dilakukan. Justeru, kita sebagai rakyat dan penduduk dunia yang akan menghakimi Israel!

PKPIM dan seluruh badan gabungan kami juga menyatakan sokongan padu terhadap NGO Malaysia yang dibentuk untuk kempen Selamatkan al-Quds yang terdiri daripada pertubuhan antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Permuafakatan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM), Aqsa Syarif, Aman Palestin, Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan lain-lain. NGO ini telah mengeluarkan kenyataan media mereka semalam dalam sidang media yang berlangsung di Wisma Bernama.

Dengan ini, PKPIM sekali lagi menyatakan sikap dan pendirian kami menolak sebarang usaha pembinaan penempatan haram Israel dalam kawasan Jerusalem. Kami juga menolak dan membantah tindakan pencerobohan golongan yahudi ke dalam kawasan Masjidil Aqsa dan usaha keji mereka melakukan penggalian bawah tanah di kawasan tersebut yang bakal merosakkan struktur tapak warisan peradaban dunia ini.

PKPIM sekali lagi menyeru masyarakat Malaysia menyokong usaha dan kempen menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan mengenakan tekanan global terhadap Israel dan sekutu kuat mereka. Sekiranya sebahagian masyarakat Eropah dan Amerika Latin berusaha memberi tekanan dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin, apakah kita masih terus berdiam diri?

Sesungguhnya perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan adalah tugas kita bersama. Palestin akan dibebaskan suatu hari nanti. – HARAKAHDAILY 30/10/2014

0 comments:

Post a Comment