Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, August 20, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Siasatan awal kejadian blok landasan projek Mass Rapid Transit (MRT) runtuh semalam mendapati prosedur operasi standard (SOP) pemasangan landasan terbabit tidak dipatuhi oleh kontraktor.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zabidi Md Adib, berkata siasatan awal oleh inspektor keselamatan JKKP mendapati ketika kejadian, tiada pengawasan oleh jurutera atau penyelia terhadap pemasangan ‘parapet wall’ di landasan berkenaan.

“Proses pemasangan ‘parapet wall’ landasan itu sepatutnya diawasi atau diselia oleh jurutera yang bertauliah bagi memastikan semua kerja dijalankan mengikut prosedur,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Sehubungan itu, JKKP mengeluarkan arahan ‘henti kerja’ serta merta di tapak pembinaan itu sehingga siasatan penuh selesai dijalankan.

Manakala pihak kontraktor perlu tampil mengemukakan kertas kerja bagaimana menyelesai dan mencegah insiden seumpama itu daripada berulang.

“Arahan itu dikeluarkan kepada kontraktor utama, sub-kontraktor serta pemilik projek berkenaan iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd,” katanya.

Katanya, sekiranya siasatan lengkap mendapati berlaku sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang, maka tindakan seterusnya adalah mendakwa pihak yang terlibat di mahkamah.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata isu utama yang timbul berhubung kejadian adalah isu keselamatan yang tidak dititikberatkan oleh kontraktor terlibat.

“Isu keselamatan di tempat kerja adalah sangat penting dan semua orang yang terlibat seharusnya mematuhi setiap arahan bagi mengelak kejadian sebegini berlaku,” katanya.

Beliau berkata, beberapa siri kejadian malang membabitkan MRT dan terbaharu semalam boleh melunturkan keyakinan orang ramai terhadap mereka.

“MRT Corp perlu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap mereka dengan bertanggungjawab penuh atas kejadian semalam,” katanya.

Mengulas laporan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, Lee berkata ia tindakan bermaruah dan harus dihormati.

“Saya anggap beliau (Azhar) begitu komited terhadap keselamatan dan tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan saya hormat tindakan beliau (meletak jawatan),” katanya.

Semalam, tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh maut akibat dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) di Kota Damansara pada jam 8.34 malam.

MRT Corp, dalam satu kenyataan, menyatakan pekerja terbabit ialah Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik.

Sementara itu, Azhar berkata beliau diberitahu bahawa mangsa berada di atas ‘span’ sebelum kemalangan berlaku.

“Terdapat empat pekerja sebenarnya, seorang di tanah, tiga yang lain berada di atas. Saya difahamkan dan perlu mendapat pengesahan bahawa mereka ada memasang pengikat badan.

“Saya rasa mungkin pengikat badan ini yang menghalang mereka daripada melarikan diri dari ‘span’ konkrit berkenaan mengakibatkan mereka terhempap oleh konkrit itu,” katanya pada sidang akhbar sebelum mengumumkan peletakan jawatan sebagai CEO berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar, pula berkata dalam tempoh seminggu, MRT Corp serta JKKP akan mengemukakan laporan masing-masing. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment