Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, January 31, 2014

No Comment

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilapor amat sihat dan cergas ketika melakukan lawatan kerja di Antartika serta mengikuti eksplorasi bersama saintis dengan penuh pengamatan dalam menimba ilmu dan pengalaman yang sungguh unik.

Meskipun terpaksa menempuh laut di kutub yang bergelora selain kesejukan melampau, namun perkara itu tidak menghalang beliau meneruskan eksplorasi di Antartika.

Menurut laporan laman sesawang Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Menteri Besar turut menaiki kapal tentera laut Chile iaitu ‘Aqulies’ untuk menjayakan ekspedisi saintifik di Antartika pada 22 Januari.

Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Profesor Dr Aziz Deraman, yang turut menyertai delegasi Ahmad Said, berkata mereka tiba di Stesen Penyelidikan Machiu Picchu milik kerajaan Peru pada 23 Januari.

“Keesokannya, delegasi dibawa ke sekitar Pulau Deception, terletak kira-kira 200 kilometer pelayaran ke selatan yang merupakan kawasan letupan gunung berapi hampir setengah abad yang lalu.

“Segala aktiviti penyelidikan hanya berlangsung di atas kapal pada 25 Januari berikutan laut di Antartika agak bergelora,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp.

Aziz juga berkata terdapat pelajar berusia lingkungan belasan tahun membuat projek sekolah berkaitan kehidupan haiwan penguin di Antartika dan ia adalah pembelajaran sains yang amat hebat kerana remaja berkenaan diterap dari peringkat awal lagi tentang penyelidikan di kutub ini.

“Pada 26 Januari, kami mendarat di suatu tempat yang dikenali Hannah Point bagi kajian flora dan fauna Antartika manakala pada 28 Jan, Menteri Besar bersama para saintis tiba di sebuah stesen penyelidikan lama kepunyaan Chile iaitu Copper-mine di Kepulauan Roberts.

“Ini bermakna negara lain sudah lama membuat penyelidikan sehingga mempunyai beberapa stesen penyelidikan lama dan baharu sedangkan kita masih lagi menumpang penyelidikan di stesen milik orang lain,” katanya.

Beliau berkata oleh itu, saranan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin agar ada usaha kerajaan ke arah memiliki stesen penyelidikan sendiri di Antarika sangat tepat pada masanya.

Ahmad dijangka mengakhiri lawatan kerja ke kutub selatan pada 2 Februari ini dan pulang ke tanah air selepas itu. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment