KOTA BHARU – Seorang wanita didera oleh suaminya kerana enggan memberi wang RM100 kepada suaminya yang juga seorang penagih dadah di rumah mereka di Kampung Temusu, Limbat, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, lelaki berusia 26 tahun tersebut dilaporan memukul kepala isterinya yang berumur 21 tahun dengan belakang kapak dan mengikat leher isterinya dengan rantai dan dikunci dengan mangga.
Beliau berkata anggota keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu telah menghubungi pihak polis, namun lelaki tersebut sempat melarikan diri apabila polis tiba.
Wanita berkenaan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Mangsa yang baru melahirkaan anak kedua, ketika ditemui di hospital berkata dia masih trauma dengan kejadian itu.
“Saya takut untuk kembali ke rumah itu lagi dan menganggap hubungan antara kami (dengan suami) telah berakhir. Sekarang tumpuan saya ialah untuk membesarkan dua anak saya dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi kepada saya,” katanya yang telah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment