TAHUN Baharu Cina merupakan perayaan terpenting bagi masyarakat Cina mengikut kalendar bulan Cina.
Bagi model, penyanyi dan pengacara jelita Malaysia, Soo Wincci, dia menganggap 'tahun kuda' bakal memberikan keceriaan, kegembiraan dan rezeki yang melimpah ruah.
Menurutnya, jika tahun lalu (tahun ular) merupakan tahun yang agak mencabar buat dirinya, tetapi dia berjaya mengharungi dan bahagia dengan kehidupan yang dimiliki sekarang.
“Banyak masa saya gunakan untuk bekerja dan saya rasa sepanjang tahun 2013 separuh masa digunakan untuk melakukan kerja.
“Tapi saya cukup gembira kerana dengan kerja yang saya lakukan ini banyak memberikan pengalaman yang cukup berguna untuk masa hadapan. “Jadi saya berharap tahun kuda ini akan membawa lebih tuah dan kebaikan kepada diri saya dan juga keluarga saya,” katanya.
Sambut sederhana
Bagi Wincci, Tahun Baharu Cina kali ini merupakan perayaan yang cukup singkat baginya kerana perlu memastikan semua kerja di Malaysia di habiskan. “Saya rasa pengurusan masa saya sangat-sangat tidak teratur terutama waktu tidur saya.
Kadang-kala dalam sehari saya hanya sempat tidur dua ke tiga jam sahaja. “Untuk persiapan pula saya belum sempat membuat sebarang persiapan dan mungkin Tahun Baharu Cina kali ini bakal disambut dengan sederhana.
“Setiap kali perayaan, saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bersama-sama keluarga meraikannya kerana pada waktu itu kami semua akan bersua,” katanya.
Menurut Wincci lagi, selepas Tahun Baharu Cina, dia akan kembali ke Taiwan selepas menyelesaikan tugasan di Malaysia.
“Sudah tiga bulan saya berada di Malaysia untuk kerja dan dalam masa yang singkat ini saya perlu menghabiskan semuanya dengan segera.
“Berkemungkinan saya hanya sempat makan besar bersama keluarga dan keesokan harinya saya akan bekerja.
“Saya terpaksa kembali ke Taiwan untuk menjalani rutin seperti biasa, tetapi akan tetap berusaha untuk pulang ke Malaysia setiap bulan,” katanya.
Ditanya tentang kenangan manis setiap kali Tahun Baharu Cina, Wincci mengakui sangat teruja setiap kali tibanya perayaan ini.
“Sewaktu kecil, apabila tibanya Tahun Baharu Cina saya merupakan antara individu yang sangat teruja menantikan saat itu.
“Dapat bersama-sama sanak saudara yang juga rakan sepermainan sememangnya mengujakan dan yang paling penting kami mengumpul ang pau.
“Sekarang saya telah dewasa, banyak perkara yang telah berubah dan yang pastinya saya ingin kembali ke zaman kanan-kanak” katanya.
Rumah terbuka bersama Iqram
Wincci mengakui tidak sempat untuk mengadakan rumah terbuka kepada peminat-peminatnya kerana keluarganya akan berada di Perak.
Namun bakal mengadakan rumah terbuka di rumah Iqram Dinzli bersama barisan pelakon cerekarama Bila Biniku Gongxi.
“Kami akan berada di sana untuk menonton cerita tersebut bersama-sama pada 1 Februari nanti dan saya akan menyediakan masakan.
“Kemungkinan saya akan menyediakan masakan Cina dan juga masakan tradisional Melayu untuk semua,” katanya.
Selepas menyertai MasterChef, Wincci mengakui semakin tertarik dengan dunia masakan dan mungkin akan bergandingan dengan Brian untuk perancangan
seterusnya.
“Untuk permulaan saya ingin mengeluarkan buku resipi masakan dan mungkin boleh dipasarkan Malaysia dan juga Taiwan.
“Saya juga berharap dapat mengendalikan satu rancangan masakan untuk chef amatur seperti saya yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini,” katanya yang turut berterima kasih kepada peminat di atas sokongan yang diterima.
0 comments:
Post a Comment