PENYANYI dan bekas peserta MasterChef Malaysia All Star, Soo Wincci memberitahu akan menyambut sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini dengan pelakon Iqram Dinzly.
Wincci, 29, berkata, dia akan menghabiskan masa bersama Iqram pada hari kedua perayaan itu dan akan memasak untuk lelaki berkenaan.
“Seperti biasa pada hari pertama saya akan menghabiskan masa bersama keluarga manakala hari kedua saya akan memasak hidangan istimewa untuk Iqram di rumahnya.
“Tetapi jangan salah faham kerana saya memasak bukan hanya untuk dia tetapi rakan-rakan lain yang terlibat dalam projek sebuah drama lakonan kami,” katanya kepada mStar Online.
Drama lakonan mereka berjudul Bini-biniku Gongxi akan bersiaran pada 1 Februari 2014 (Sabtu) pada 10.00 malam menerusi slot Cerekarama di TV3.
Dalam pada itu, bercakap mengenai sambutan Tahun Baru Cina, Wincci berkata, dia hanya melakukan persiapan sederhana untuk keluarga dan dirinya sendiri.
Kata Wincci, bersempena dengan perayaan itu, dia berharap ia akan memberi lebih tuah kepadanya untuk terus melebarkan sayap sebagai penyanyi dan pelakon.
“Syukur tawaran berlakon dan nyanyian sama ada di Malaysia atau pun Taiwan cukup memberangsangkan dan berharap ia akan berterusan pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Wincci berkata, sebagai menghargai peminatnya, dia bakal muncul dengan sebuah buku masakan yang akan diterbitkan tidak lama lagi. – mStar
0 comments:
Post a Comment