ALOR SETAR – Percaturan PKR Selangor mengumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Dun Kajang adalah langkah paling bijak untuk menyelesaikan masalah ‘ekonomi kangkung’ di negeri itu.
Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Ir Zamri Yusof berkata, pengumuman itu jelas bahawa Anwar mungkin akan terlibat secara langsung dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
“Dia (Anwar) bukan saja boleh selesaikan masalah di negeri itu, tetapi langkah paling bijak menyelesaikan masalah rakyat. Tambahan pula rakyat sekarang berada dalam ‘ekonomi kangkung’ selepas PRU13.
“Sekarang ini rakyat mencari seorang pemimpin yang boleh membantu menyelesaikan masalah mereka dan mencari tempat untuk pergantungan harapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pengumuman Anwar sebagai calon PRK Dun Kajang juga adalah tepat dengan harapan boleh membawa kuasa ekonomi lebih menyeluruh yang berpusat di Selangor dan memberi kesan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Selain menyelesaikan masalah ekonomi, masalah air di Selangor juga mungkin dapat ditangani sebaik mungkin pada masa hadapan.
“Walaupun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah lakukan yang terbaik, tetapi rakyat di negeri itu mengharapkan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai PRK Dun Kajang, beliau berkata, PKR Kedah akan beri kerjasama sepanjang kempen tersebut berlangsung.
“Kita sedia maklum bahawa PKR Selangor adalah antara parti yang terkuat di Malaysia. Bagaimanapun, kita di Kedah akan turut membantu dan hantar jentera parti ke sana.
“Seramai 200 orang jentera parti akan berkampung di sana bagi memastikan kemenangan itu kekal milik PKR,” katanya.
0 comments:
Post a Comment