ALOR GAJAH – Impian seorang lelaki warga Singapura untuk bercuti bersama keluarganya di negara ini sempena Tahun Baru Cina tidak tercapai apabila maut dipercayai akibat serangan jantung sebelum kereta dipandu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 207.9, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), arah utara, di sini, malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa Rozali Mohamed, 47, memandu kereta Chevrolet bersama adik lelakinya, Mohd Rafi, 43, ibunya, Jamilah Ahmad, 65, serta seorang anak saudara lelaki, Aki Rafael, 2, bergerak di lorong kiri sebelum kenderaan dinaiki terbabit kemalangan.
Rozali yang dikesan menghidap penyakit jantung sejak lima tahun lalu, mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan sebelum berhenti rehat di R&R Pagoh dan menyambung perjalanan.
Mohd Rafi berkata, ketika kejadian abangnya tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum stereng kereta yang dipegang mangsa terlepas menyebabkan kereta terhoyong-hayang ke kiri dan kanan lebuh raya.
“Kami semua terkejut apabila kereta dipandu abang hilang kawalan ke kiri dan kanan menyebabkan ia terlanggar sebelah kiri sebuah PERODUA Viva dari arah sama sebelum saya nekad memaut stereng masuk ke lorong kecemasan dan menarik brek tangan untuk memberhentikan kereta.
“Cemas melihat keadaan abang yang rebah di tempat duduk dan tidak bergerak, saya segera memberi bantuan kecemasan mulut ke mulut (CPR) dan menekan dada beberapa kali namun tiada sebarang tindak balas,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini, malam tadi.
Menurutnya, beberapa pengguna jalan raya yang menyedari kemalangan berhenti menghulurkan bantuan sebelum menghubungi pasukan penyelamat.
Katanya, pasukan Paramedik yang datang tidak lama kemudian melakukan pemeriksaan dan mengesahkan abangnya sudah meninggal dunia. – Berita Harian
0 comments:
Post a Comment