Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, January 31, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina hari ini menyambut kedatangan tahun baharu iaitu Tahun Kuda Kayu yang melambangkan kemakmuran, kesejahteraan dan kegagahan dalam kehidupan, karier serta perniagaan dengan penuh kemeriahan.

Selain mengadakan makan besar bersama keluarga malam tadi bagi menandakan permulaan sambutan Tahun Baharu Cina, pagi ini rata-rata masyarakat Tionghoa mengenakan pakaian berwarna merah turut mengadakan rumah terbuka bagi mengeratkan lagi hubungan antara keluarga, sahabat dan jiran.

Di samping bertukar ucapan selamat tahun baharu dan kesejahteraan, para tetamu dijamu dengan limau mandarin dan pelbagai kuih-muih serta ada yang turut menganjurkan persembahan tarian singa dengan harapan dapat membawa kebaikan dan tuah kepada keluarga masing-masing.

Sementara itu, warga kota mengambil peluang cuti umum dan hujung minggu yang panjang ini untuk pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga tersayang.

Di KUALA LUMPUR, dua parti politik MCA dan Gerakan mengadakan rumah terbuka masing-masing di ibu pejabat parti berkenaan sejak 9 pagi ini.

MCA mengadakannya di Dewan San Choon, Wisma MCA di Jalan Ampang sementara Gerakan di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara PGRM di Jalan Pudu Ulu, Cheras.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, berserta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut bersama menghadiri rumah terbuka parti MCA pagi ini.

Kedua-dua pemimpin negara yang tiba secara berasingan di Wisma MCA pada  kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama barisan kepimpinan tertinggi parti itu dengan diiringi tarian singa.

Turut hadir beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Najib, Muhyiddin dan pemimpin parti komponen BN dan MCA kemudian bersama-sama menggaul Yee Sang, salad ikan dan sayuran, hidangan utama pada sambutan Tahun Baharu Cina, yang dipercayai sebagai juadah membawa tuah dalam kalangan masyarakat Cina.

Sementara itu, di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran parti Gerakan suasana meriah dengan orang ramai mula berkumpul seawal 8 pagi sementara menunggu majlis bermula pada 10 pagi.

Rumah Terbuka di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik itu dihiasi beraneka tanglung dan diserikan dengan alunan lagu perayaan Tahun Baharu Cina, selain dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian singa.

Warna merah yang dianggap membawa tuah kepada kaum Cina menjadi pilihan kebanyakan mereka yang hadir dengan mengenakan pakaian tradisional cheongsam, samfoo dan baju tradisi masing-masing.

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan bekas presiden, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon turut sibuk melayan dan beramah mesra dengan para tetamu.

Najib dan Muhyiddin dijadualkan menghadiri rumah terbuka parti Gerakan selepas menghadiri rumah terbuka MCA. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment