Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, January 31, 2014

No Comment
Berasa berat dalam mengerjakan solat, menangguhkan atau mengerjakannya sendirian di rumah - tidak di masjid (bagi lelaki) tanpa uzur, itu merupakan tanda kekosongan hati dari rasa cinta kepada ALLAH SWT. - Gambar hiasan

SOLAT adalah tiang agama Islam. Tidak dapat berdiri agama seseorang kecuali dengan istiqamah mengerjakan solat.

Ia adalah rukun kedua dalam Islam sebagai merealisasikan rukun pertama, iaitu persaksian Lailahaillallah, Muhammadur Rasulullah. Solat adalah ibadah pertama akan dihisab pada hari perhitungan (di akhirat) bagi orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah.

Jika seseorang mengabaikan solat, sudah pasti lebih mengabaikan ibadah yang lain. Ini kerana ibadah lain bergantung kepada solatnya. Jika baik solatnya, maka baiklah ibadah lain. Jika buruk solatnya, akan buruklah seluruh amalannya.

Dukacitanya pada hari ini kita lihat masih ramai Muslimin mensia-siakan solat. Ada yang solat akhir waktu atau di luar waktu, ada yang tidak cukup lima kali sehari, ada yang solat sekali seminggu, malah ada yang tidak solat sama sekali. Sedangkan solat adalah kewajipan paling utama dalam syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda, “Istiqamahlah dalam segala sesuatu, dan janganlah kamu menghitung amal, ketahuilah sebaik-baik amalan adalah solat, dan hanya orang mukmin mampu memelihara wuduk.” (Sahih Ibn Majah)

Mencintai solat, bersegera mengerjakannya dengan sebaik-baiknya merupakan bukti dan tanda cinta seseorang kepada ALLAH, dan bukti rasa rindunya kepada ALLAH. Solat adalah tanda syukur dan terima kasih seorang hamba atas nikmat yang ALLAH kurniakan kepadanya.

Adapun berasa berat dalam mengerjakannya, menangguhkan atau mengerjakannya sendirian di rumah - tidak di masjid (bagi lelaki) tanpa uzur, itu merupakan tanda kekosongan hati daripada rasa cinta kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT berfirman: “Maka datanglah sesudah mereka generasi yang mengabaikan solat dan mengikuti hawa nafsu, mereka kelak akan sesat.” (Surah Maryam: 59)

Solat bukti takwa

Ummu Aiman RA berkata, Rasulullah SAW berpesan agar jangan sesekali meninggalkan solat dengan sengaja, kerana barang siapa meninggalkan dengan sengaja, maka terlepaslah perlindungan ALLAH dan Rasul-Nya daripada dirinya. (Hasan, Riwayat Ahmad)

ALLAH mudahkan urusan solat dengan mewajibkannya secara berjemaah di masjid (bagi lelaki). Apabila dikumandangkan azan, wajib bagi mereka menyahut seruan tersebut.

Mengerjakan solat berjemaah sebenarnya lebih mudah dan lebih menambah semangat. ALLAH Maha Pemurah dan Maha Penyantun kepada hamba-Nya menjadikan amalan ini sebagai yang terbaik dan mewajibkannya ke atas manusia. Bahkan ALLAH memuji hamba-Nya yang mendirikan solat berjemaah di masjid.

“Hanyalah yang memakmurkan masjid ALLAH ialah orang yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain kepada ALLAH, merekalah orang yang diharapkan termasuk golongan orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah: 18)

Tirulah Abu Bakr Al-Siddiq, Umar  Al-Khattab, dan khalifah agung yang lain, sebagai pemimpin yang memberi perhatian dan menekankan aspek ibadah solat dan memerintahkan pegawai mereka supaya bersolat.

Orang yang menjaga solat, akan menjaga amanah, terjaga lisannya, pandangannya, dan hatinya daripada perbuatan keji dan mungkar. Ironinya, ada majikan yang mencegah dan menyulitkan pekerjanya untuk solat. Lalu muncullah khianat, korupsi dan sebagainya, kerana pekerja tidak dididik untuk menjaga solat, iaitu hubungan hamba dengan ALLAH SWT.

Maka pemimpin yang bijak, baik di rumah, pejabat mahupun dalam masyarakat berkewajipan menyeru orang yang dipimpin itu untuk istiqamah mendirikan solat.

“Dan perintahkanlah ahli mu mendirikan solat dan sabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepada mu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepada mu. Dan kesudahan baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 132)

Solat sama sekali tidak akan membuat rezeki terhalang, bahkan solat adalah bukti ketakwaan, dan dengan takwa, ALLAH akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Tidak ada satu kesibukan pun yang menggugurkan kewajipan solat pada waktunya sehingga seseorang itu dibolehkan menunda solat hingga keluar dari waktu. Sebaliknya solat adalah ibadah yang wajib dikerjakan pada waktunya.

Cara solat Nabi

Ibadah solat tidak dapat ditandingi ibadah lain. Setiap agama yang ALLAH turunkan kepada seluruh Rasul tidak terlepas daripada syariat solat. Ini kerana solat adalah penghubung antara hamba dengan ALLAH. Dalam solat kita dibimbing untuk ittiba’ (mencontohi) Nabi Muhammad SAW dalam setiap gerakan dan ucapan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Solatlah kalian seperti kalian melihat aku solat.” (Riwayat Bukhari)

Komitmen seseorang dalam mengikuti sunnah Rasulullah dapat dilihat daripada bagaimana cara dia mengerjakan solat. Kita diperintahkan solat mengikuti cara solat Nabi Muhammad SAW, sejak dalam persediaan untuk solat iaitu berwuduk dan menyediakan tempat solat, sehinggalah setelah selesai solat iaitu membaca zikir yang diajarkan Bagindan SAW.

Solat tidak boleh dilakukan secara sembarangan tanpa mengetahui petunjuk dalil daripada Nabi Muhammad SAW. Nabi mengajarkan cara solat dengan sebaik-baiknya mengenangkan ini adalah ibadah terpenting dalam agama. Sampai Baginda pernah solat di atas mimbar dan selesai solat Baginda berkata kepada sahabatnya, “Aku melakukan ini agar kalian mengikuti ku, dan agar kalian mengetahui solat ku.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Betapa besar pengaruh solat dalam pembentukan jiwa seseorang dan dalam mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, sehingga tidak wajar bagi seorang Muslim melakukan solat secara ikut-ikutan tanpa mempelajarinya daripada hadis yang sabit daripada Nabi SAW.

Golongan ulama bertungkus-lumus mengumpulkan hadis berkaitan cara solat Nabi, antara yang terbaik dan diterjemahkan adalah kitab berjudul ‘Sifat Shalat Nabi’ karangan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT menceritakan doa Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan zuriat keturunan ku sebagai orang yang tetap mendirikan solat” (Surah Ibrahim: 40)

ALLAH juga menceritakan Nabi Ismail ‘alaihissalam, “Dan ceritakanlah (Muhammad), kisah Ismail di dalam kitab (al-Quran). Dia benar-benar seorang yang benar janjinya, seorang Rasul dan Nabi. Dia menyuruh keluarganya untuk mendirikan solat dan menunaikan zakat.” ( Surah Maryam: 54-55)

Akhirnya ALLAH juga memerintahkan Nabi kita Muhammad SAW, “Dan perintahkanlah keluarga mu mendirikan solat dan sabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepada mu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepada mu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Taha: 132)

Pemisah iman dan kufur

Siapa saja memandang remeh solat bererti dia meremehkan agama Islam. Kadar kecintaan seseorang terhadap Islam diukur dengan kadar cintanya terhadap solat. Ada orang yang solat kerana terpaksa dan berat hati. Ini adalah ciri-ciri kemunafikan, tanda hatinya tertutup sehingga dia membenci ibadah solat.

Adapun orang Mukmin melihat solat itu suatu kesenangan dan kesejukan dalam hati. Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Bilal, “Wahai Bilal, iqamatkan solat, tenangkanlah kami dengannya” (Sahih, Abu Daud). Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dicintakan kepada ku daripada dunia, wanita dan wangian, dan dijadikan penyejuk mata ku di dalam solat”. (Sahih, Riwayat Ahmad)

Maka janganlah sampai kita bertemu ALLAH dalam keadaan tidak ada sedikit pun Islam pada diri kita. Ini kerana tiang kepada kalimah syahadah yang kita ucapkan adalah solat. Apa jua bangunan akan roboh jika tidak ada tiangnya. Tidak ada gunanya amalan lain jika tidak ada solat.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya jarak pemisah antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.” (Riwayat Muslim)

0 comments:

Post a Comment