Perlaksanaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang disifatkan MCA sebagai satu kesilapan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ia hanya akan menarik keluar sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai (Gambar) berkata pilihan raya kecil atas sebab suka-suka begini adalah perkara yang tidak diingini oleh rakyat khususnya ketika kos sara hidup sedang meningkat ketika ini.
“Pilihan raya ini sudah jelas direka oleh PKR, dan ia adalah satu langkah yang salah dan sudah pun membangkitkan kemarahan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma MCA di Ampang hari ini.
Menurut beliau PKR sepatutnya memberikan fokus kepada memperbaiki taraf hidup rakyat dan bukannya dengan sengaja mereka satu pilihan raya untuk agenda peribadi pihak tertentu ataupun menyelesaikan masalah dalam parti mereka.
Isnin lepas, Ahli DUN (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh dari PKR tiba-tiba sahaja meletakkan jawatan, dan mengatakan tindakannya itu adalah untuk memberi manfaat kepada parti.
Perletakan jawatan mengejut itu, menghangatkan spekulasi bahawa beliau memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi itu untuk menjadi ADUN Selangor seterusnya berpeluang menjadi Menteri Besar Selangor.
Menteri Besar ketika ini iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan akan ditukarkan apabila dilihat gagal menangani beberapa isu melibatkan penyingkiran Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan isu Langat 2. – IBNU K
0 comments:
Post a Comment