Qi memberitahu salah faham tersebut
telah pun selesai dengan baik.
|
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Qi Razali tertekan apabila pelakon Sharnaaz Ahmad bertindak memuat naik gambar promosi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta bersama teman wanitanya, Nelydia Senrose sebelum ini sehingga dia bertindak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aktor itu di laman sosial Twitter.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali, 36, berkata, tekanan turut memuncak apabila rakan-rakannya mula bertanya dan menghantar gambar-gambar tersebut kepadanya untuk penjelasan berhubung tindakan aktor tersebut.
"Saya dalam situasi terkejut pada ketika itu tambahan pula ramai rakan-rakan yang bertanya dan menghantar gambar-gambar tersebut kepada saya membuatkan saya tertekan sehingga bertindak meluahkan perasaan di Twitter.
"Tambahan pula ketika itu saya sedang mengalami sakit belakang akibat kemalangan yang dialami beberapa hari sebelum itu menambahkan tekanan," katanya.
Bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan ini berkata demikian ketika diminta mengulas tindakannya meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap Sharnaaz menerusi laman sosial Twitter miliknya sebelum ini.
Dalam pada itu, Qi mengakui sebagai seorang selebriti dia seharusnya lebih memahami dan tidak berasa cemburu terhadap kerjaya Nelydia sebagai seorang pelakon.
Kata Qi, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan kekasihnya itu cuma terkilan dengan kapsyen romantis yang ditulis Sharnaaz pada gambar-gambar yang dimuat naiknya ke laman Instagram.
Nelydia Senrose. |
"Saya faham dia ingin mempromosikan drama itu dan gambar yang dimuat naik juga tidak salah kerana saya tahu itu antara babak lakonan mereka.
"Cuma saya terkilan kapsyen pada gambar tersebut tidak sepatutnya ditulis dengan kata-kata romantis kerana ia mungkin disalah tafsir oleh orang lain," katanya.
Bagaimanapun kata Qi, salah faham itu selesai apabila dia menghubungi sendiri Sharnaaz dan memohon maaf atas tindakannya yang terlalu mengikut perasaan.
Sementara itu, bercakap mengenai hubungannya dengan teman wanitanya, Qi berkata, mereka merancang untuk memikirkan soal perkahwinan selepas kakak Nelydia iaitu Uqasha Senrose disatukan dengan pelakon Pekin Ibrahim.
Bagaimanapun kata Qi, dia seboleh-bolehnya ingin berkahwin secepat mungkin ekoran usianya yang semakin meningkat.
"Alhamdulillah semua berjalan lancar dan mengenai soal kahwin kami tunggu Uqasha dan Pekin lepas disatukan dan baharulah kami bincang tentang kami.
"Tambahan pula buat masa ini kami sibuk dengan pelbagai tugas termasuk penggambaran di luar negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, Qi berkata, selepas sambutan Tahun Baru Cina, dia akan sibuk dengan penggambaran program travelog iaitu Destinasi Bajet Asia yang akan membawanya merantau ke pelbagai negara seperti Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.
Malah kata Qi, dia juga akan bertindak sebagai hos sebuah rancangan masakan selain bakal berangkat ke Argentina untuk penggambaran program Art Attack musim keempat.
0 comments:
Post a Comment