Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, January 31, 2014

No Comment
ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. - Gambar hiasan
Apa jua larangan dalam al-Quran dan Sunnah secara asasnya membawa maksud haram, kecuali jika ada pengkhususan atau nas lain yang memalingkan maksud haram itu kepada maksud makruh.

Syeikh Salim bin ‘Eid Al-Hilali dalam kitab syarahnya - Riyadhus Salihin menyebutkan kaedah untuk memahami larangan dalam agama.

Kaedah pertama: Larangan adalah tuntutan supaya menjauhi hal yang dilarang itu sepenuhnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jika aku melarang kamu akan sesuatu, maka jauhilah ia. Dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah sedaya yang kamu mampu.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Beza larangan dan suruhan

Dapat dilihat perbezaan antara larangan dan suruhan. Dalam larangan, Rasulullah SAW mengatakan hendaklah kamu jauhi. Baginda tidak mengatakan ‘sedaya yang kamu mampu’, Baginda tidak memberi apa-apa pengecualian dalam hal yang dilarang. Berbeza dengan suruhan, ia dikaitkan dengan kemampuan.

Contoh jelas adalah larangan berjudi. Kita dilarang berjudi sepenuhnya, tanpa ada kelonggaran, pengecualian atau situasi di mana kita dibolehkan berjudi. Berbeza suruhan, misalnya suruhan solat. Secara prinsipnya kita disuruh solat fardu secara berdiri. Tetapi kewajipan itu gugur jika tidak mampu berdiri, dibolehkan duduk. Jika tidak mampu duduk, dibolehkan baring.

Hikmah dibezakan antara suruhan dan larangan, adalah kerana larangan tidak menuntut apa juga perbuatan, sebaliknya ia adalah tuntutan supaya tidak melakukan apa-apa. Tuntutan tidak melakukan apa-apa sebenarnya tiada yang lebih mudah daripada itu. Berbeza dengan suruhan, kita dituntut untuk melakukan sesuatu.

Kaedah kedua: Larangan ada kalanya disebabkan faktor lain. Perbuatan itu asalnya diharuskan, tetapi menjadi haram disebabkan faktor lain. Ia dinamakan ‘haram lighairihi’. Haram terbahagi kepada dua; haram lidzatihi (haram secara zatnya) dan haram lighairihi (haram kerana faktor yang lain).

Haram lighairihi termasuk dalam kaedah Saddu Al-Dzari’ah iaitu menutup pintu yang membawa kepada haram (lidzatihi). Ia bertujuan langkah pencegahan dengan menutup jalan dan sebab yang membawa kepada haram lidzatihi. Contohnya zina. ALLAH berfirman: “Jangan kamu dekati zina” (Surah al-Isra: 32). ALLAH tidak mengatakan, “Jangan kamu berzina”.

Larangan dekati zina lebih luas skopnya berbanding larangan melakukan zina. Syariat Islam bukan sahaja melarang persetubuhan haram. Lebih daripada itu, segala pintu yang membawa kepada persetubuhan haram juga dilarang. Penyair Arab berkata, “Zina bermula dengan pandangan, senyuman, memberi salam, percakapan, dan pertemuan.” Ini adalah mukadimah zina,.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Telah termaktub atas anak Adam bahagiannya daripada zina. Dia akan mendapatkannya dan tidak ada jalan lari.

Kedua mata berzina dan zinanya melihat, telinga berzina dan zinanya mendengar, lidah berzina dan zinanya percakapan, tangan berzina dan zinanya menyentuh, kaki berzina dan zinanya berjalan, hati berkeinginan dan bersyahwat, dan kemaluan akan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Riwayat Bukhari)

Bagaimanapun, ada beza antara haram lidzatihi dan haram lighairihi. Haram lizatihi yang tidak ada pengecualian (mesti ditinggalkan sepenuhnya), sebaliknya haram lighairihi dalam keadaan tertentu ada pengecualian. Contohnya, antara mukadimah zina adalah melihat.

Maka kita dilarang melihat lawan jenis yang bukan mahram bahkan disuruh menundukkan pandangan, “Katakanlah kepada lelaki beriman supaya menundukkan pandangan mereka.” (Surah al-Nur: 30)

Dalam keadaan tertentu, pandangan itu dibolehkan, misalnya ketika hendak merisik, kita disuruh melihat perempuan yang ingin dinikahi, sedangkan hukum asalnya dilarang.

Ini kerana ia adalah haram lighairihi, dan ia membawa tujuan yang murni di sebaliknya iaitu hendak berkahwin, bertentangan sama sekali dengan zina. Kerana itu ia dibolehkan.


Kaedah ketiga: Keumuman larangan pada sesuatu membuatkan semua bahagian dan elemennya turut dilarang.

Contohnya larangan minum arak. Apabila ada larangan minum arak, ia merangkumi semua jenis dan kuantiti arak.

Walaupun kuantitinya sikit, walaupun tidak mabuk, hukumnya haram. Begitu juga riba. Apabila agama melarang riba, maka riba adalah haram keseluruhannya, walau 1 peratus. Tidak ada pengecualian, sedikit atau banyak tidak ada beza.

Kaedah keempat: Istilah ‘makruh’ (dibenci) dalam firman ALLAH, sabda Rasulullah, dan perkataan salaf secara umum digunakan bagi menunjukkan makna haram.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT menggunakan perkataan makruh dalam Surah al-Isra ayat ke-38, di mana dalam ayat sebelumnya ALLAH menyebut perbuatan haram seperti membunuh, mendekati zina, mendekati harta anak yatim, lalu di hujungnya ALLAH berkata: “Semua itu di sisi Tuhan mu adalah makruh”. Sedangkan yang disebutkan itu jelas haram berdasarkan nas-nas yang lain.

Kaedah kelima: Tidaklah apa jua larangan dalam agama melainkan ada maslahat di sebaliknya, dan tidaklah suatu larangan itu dicerobohi melainkan kemudaratan yang lebih besar akan menimpa. ALLAH tidak menyuruh sesuatu melainkan kepada hal yang membawa kebaikan, dan tidak melarang sesuatu, kecuali kerana kerosakannya lebih besar terhadap kita.

Dalam al-Quran, ALLAH mengatakan arak itu ada manfaat, tetapi mudaratnya lebih besar: “Mereka bertanya kepada mu tentang arak dan judi. Katakanlah, ‘Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya'.” (Surah al-Baqarah:219)

Contoh lain adalah riba. Subhanallah, apa yang dikatakan orang Yahudi dulu seperti yang disebut dalam al-Quran seolah-olah dipraktikkan orang Islam pada hari ini.

“Mereka berkata, sesungguhnya jual beli itu sama seperti riba.” (Surah al-Baqarah: 275). Lalu ALLAH menyanggah perkataan mereka dengan firman-Nya, “Dan ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah: 275)

Sekiranya sistem itu dijalankan tanpa riba, betapa rancak pembangunan akan berjalan, dan hakikatnya riba itu merosakkan. Namun piawaian manusia hari ini sudah terbalik akibat tidak kembali kepada panduan syariat. Apa yang mereka nampak adalah riba bagus, dan tanpa riba kita akan rugi.

Contoh lain adalah larangan melawan pemerintah secara terbuka. Yang dimaksudkan di sini adalah mengkritik secara terbuka, dan kita memang tegaskan perlu ada nasihat dan amar makruf dengan pemerintah secara tertutup.
Apabila larangan melawan pemerintah dilanggar, implikasinya rakyat benci kepada pemerintah.

Rakyat tidak taat kepada pemerintah, kerajaan menjadi lemah, akan timbul kekacauan. Apabila timbul kekacauan dan keadaan tidak tenteram, apa juga maslahat yang ingin dicapai tidak akan diperoleh. Ini seperti yang berlaku di negara-negara lain yang boleh kita lihat pada hari ini.

Kaedah keenam: Larangan membawa maksud bahawa perbuatan itu terbatal (tidak sah) jika ia dilakukan.

Contoh, larangan jual beli selepas azan. Jika berlaku jual beli, jual beli itu terbatal dan tidak sah.

Contoh lain adalah larangan berpuasa pada hari raya. Jika seseorang berpuasa, puasanya tidak tidak diterima dan dia berdosa jika tidak berbuka.

Penting untuk kita ketahui dan fahami kaedah ini kerana kehidupan seharian umat Islam amat terikat dan berputar pada suruhan dan larangan dalam agama.

Sekiranya masing-masing memahami suruhan dan larangan mengikut logik masing-masing, kesudahannya hukum-hakam agama akan jadi celaru dan keliru. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa kembali kepada panduan syarak.

0 comments:

Post a Comment