Leia bersama dua sahabat menjadi rakan seperjuangan dalam berdakwah. |
SEMUANYA berlaku tanpa disedari dan sekelip mata, apabila Dia mengatakan kun fa ya kun (jadilah ia) maka akan terjadilah!. Sekitar 2007, bermula dengan bermimpi mendengar azan benar-benar mengubah kehidupan beragama Leia Az-Zahra Justin Abdullah, 33 ini.
Sebelumnya dia mengalami gangguan emosi dan berasakan tak ada jalan keluar daripada masalah hidup. Hidupnya sepi, sunyi dan kosong. Lalu dia berhasrat untuk membunuh diri sekali lagi.
enurutnya, pertama kali cubaan membunuh diri pada 2003. Dia menelan beberapa pil lalu pengsan dan dimasukkan ke hospital akibat over dose. Namun Tuhan masih menyayanginya.
"Ketika itu saya mengalami kegoncangan hidup. Bermula daripada masalah dalam keluarga dan apabila meningkat dewasa saya mula persoalkan macam-macam mengenai kehidupan.
"Saya mencari ketenangan dan kasih sayang yang hakiki. Saya mencuba pelbagai hiburan dengan minum alkohol, mengambil dadah dan menghisap rokok.
"Lama kelamaan, saya mulai jemu dengan segala hiburan yang saya lakukan. Keseronokan itu bersifat sementara, kerana bila ia tiada, setiap kali itu saya berasa kembali kosong. Saya terus bertanya-tanya, saya perlukan yang hakiki, yang lahirnya terus dari hati,” katanya kepada Sinar Islam.
Menurut Leia, segala persoalan yang berputar di kepala langsung tidak menemui jawapan, dia mula berputus asa dan kembali berhasrat untuk membunuh diri. Leia mulai menyumpah Tuhan dan mempersoalkan apa tujuannya.
Dalam tangis Leia terlena lalu bermimpi berada dalam kawasan yang samar lalu kedengaran alunan azan. Azan itu membuatnya berasa tenang. Sempat berfikir adakah itu mungkin mainan syaitan? Leia maklum azan adalah kepunyaan orang Islam.
"Lalu saya terjaga dan berfikir panjang, bertanya-tanya dalam diri, kenapa azan itu buat saya rasa tenang, padahal saya sering mendengar azan.
"Tapi azan dalam mimpi itu begitu menyenangkan. Saya sempat bersangka itu mungkin mainan syaitan kerana itu kepunyaan orang Islam.
"Tak lama kemudian azan berkumandang menandakan waktu untuk solat Subuh, dan sekali lagi hati saya tersentuh. Terasa begitu menyenangkan. Lalu saya berdoa supaya diberikan petunjuk. Hari demi hari, saya mulai jatuh cinta dengan azan," katanya.
Hubungan keluarga kembali akrab
Leia akui terlampau banyak cabaran dan ujian. Tak dinafikan semua saudara baru, cabaran pertamanya adalah keluarga. Macam-macam bermain di fikiran. Takut dimarah, dibuang, dipulau makan dan minum serta macam-macam lagi.
"Saya juga mengalami perasaan yang sama pada mula-mula kembali kepada agama fitrah ini.
"Saya sayangkan keluarga walaupun berjauhan, terutama adik dan nenek. Saya pernah berjanji takkan ‘masuk Islam’ setelah berhijrah di Semenanjung," katanya.
Leia memberitahu, neneknya banyak menyokong, meyakini dan mempercayai setiap apa yang dia lakukan.
"Ketika bersama nenek, saya berpegang kuat dengan Kristian Katolik dan pernah menghadiri kursus biarawati,” kata anak kelahiran Penampang, Sabah ini.
Leia menceritakan, apabila memeluk Islam, dia ketandusan idea bagaimana mahu dijelaskan kepada keluarga terutama neneknya. Begitu rumit kerana sememangnya mereka tidak faham walau apapun yang akan disampaikan.
Namun, belum sempat disampaikan kepada nenek dan keluarga, mereka terlebih dulu mengetahuinya melalui sebuah majalah.
“Sejak dari itu, hubungan kami terasa semakin jauh. Tetapi Alhamdulillah, beberapa tahun kemudian, mereka sudah mulai menerima saya seadanya. Sekarang hubungan kami bertambah akrab. Nenek juga sudah boleh menerima. Walaupun hatinya masih kecewa.
“Terlalu rumit untuk saya jelaskan situasi dihadapi. Apa yang saya boleh katakan mengenai perasaan saya adalah, sedih. Saya pernah terfikir untuk murtad kerana tak tahan dengan tekanan dan budaya komuniti di mana saya berada.
“Apa yang harus saya patuh dan berubah pada sesuatu yang belum saya fahami, memberi tekanan pada saya yang akhirnya menjadikan hati saya berbagi-bagi untuk murtad atau bertahan dengan Islam.
"Ikutkan hati, saya mahu murtad. Tetapi fikiran saya mengatakan, ‘hanya Islam saja yang memperjuangkan kebenaran dan Tuhan itu hanya ALLAH.’ Lalu saya memilih untuk tetap berada dalam Islam.
"Saya mulai belajar dan cuba memahami makna di sebalik ujian, takdir serta qada’ dan qadar ALLAH,” katanya.
Menurutnya, perkara pertama yang dilakukan selepas mengucap syahadah adalah bersolat. Leia terfikir, bagaimana nak sampaikan doa kepada ALLAH kalau tak tau cara sembahyang.
Belajar dan terus belajar
Ini adalah tahun ketujuh Leia memeluk Islam, Leia mengakui tahun pertama dia memeluk Islam sangat susah, kerana dia tidak faham lagi apa itu Islam dan soalan yang sering bermain di minda bagaimanakah caranya untuk
menjalani kehidupan sebagai seorang Muslimah yang sebenarnya. Adakah hanya sekadar melengkapi solat lima waktu, dan mengambil yang halal serta menghindari yang haram?
Leia mempelajari al-Quran melalui ustazah yang tinggal berdekatan dengan apartmentnya. Seterusnya dia menyambung pembelajaran al-Quran dengan aunty sampai iqra 6.
Apabila dia berpindah tempat tinggal dan mengalami masalah kesihatan, dia hanya sempat belajar sehingga iqra 6 sahaja. Sekarang Leia masih dalam proses pembelajaran dan mencari tempat yang sesuai untuk menyambung pembelajaran iqra.
“Saya tidak pernah mengislamkan orang bukan Islam. Bukan saya yang yang mengislamkan orang tetapi ALLAH yang menggerakkan hatinya untuk memeluk Islam.
"Saya pernah menjelaskan beberapa perkara berkaitan perbandingan agama kepada orang bukan Islam dan syukur kepada ALLAH, mereka memahaminya dan memeluk Islam,” akhiri Leia.
0 comments:
Post a Comment