Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, December 16, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga atas keprihatian rakyat Malaysia membantu mangsa banjir ketika bencana itu melanda beberapa negeri.

Najib turut mengucapkan syabas kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan, jabatan-jabatan berkaitan sehinggalah para penghulu yang terus berusaha memastikan segala keperluan asas mencukupi.

“Pelbagai pihak telah tampil memberi sumbangan dalam bentuk tenaga, wang ringgit dan sokongan moral untuk mangsa terlibat.

“Semangat, usaha dan keprihatinan ini benar-benar mencerminkan (semangat) 1Malaysia tanpa mengira agama, mahupun aliran politik masing-masing,” katanya dalam entri terbaharu di laman www.1malaysia.com.my Ahad.

Najib berkata kerajaan persekutuan dan negeri perlu mengkaji semula sistem serta langkah menghadapi banjir dan bencana alam sedia ada supaya dapat menampung secara efisyen dan berkesan segala keperluan yang bakal meningkat dan perubahan iklim lebih serius.

“Ini termasuk sistem memindah dan menyelamat mangsa, penempatan sementara, penyebaran maklumat dan amaran bencana serta usaha memulihkan kawasan bencana supaya kembali menjana pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi negara,” kata Najib.

Awal bulan ini, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor dilanda banjir buruk susulan hujan lebat berterusan serta limpahan air sungai di beberapa kawasan. Hanya Pahang masih mempunyai mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.

Najib berkata bencana banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur setiap hujung tahun tidak boleh diambil ringan, khususnya apabila ia menjejaskan ribuan mangsa malah menyebabkan rakyat menanggung kerugian besar.

Beliau turut mengimbau pengalamannya meninjau kawasan dilanda banjir di Kuantan, Rompin dan Pekan di mana beliau bertemu mangsa di pusat-pusat pemindahan.

“Walau kehidupan seharian terjejas teruk, semangat dan ketabahan yang ditunjukkan mereka amat mengagumkan,” katanya dan menambah kerajaan pusat dan negeri akan berusaha memastikan kehidupan rakyat yang terjejas akibat bencana itu segera dipulihkan.

Kata Najib, semasa melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan yang menempatkan 500 mangsa banjir, beliau diberitahu beberapa mangsa banjir bahawa keadaan akan menjadi lebih mencabar sekiranya tiada pihak tampil menghulurkan bantuan.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan bencana alam lebih dahsyat boleh melanda negara akibat perubahan iklim global, berdasarkan kejadian banjir kali ini dan banjir lumpur di Cameron Highlands pada Oktober lepas.

Beliau turut meminta lebih ramai rakyat Malaysia berganding bahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya percaya setiap sumbangan anda membawa makna yang besar kepada mangsa. Marilah kita bersama-sama berdoa supaya bencana ini segera berakhir,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment