Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 24, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengesyorkan agar nama-nama calon yang dicadangkan mengisi jawatan penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di GLC dan Syarikat Milik Kerajaan (GOC) harus dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melalui proses Tapisan Keutuhan.

Pengerusi LPPR, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan  calon berkenaan mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih dan bersahsiah, berintegriti dan bebas dari jenayah rasuah dan selari dengan proses tapisan yang dilalui oleh peringkat lain pegawai perkhidmatan awam.

Ia merupakan satu daripada lima syor dalam Ulasan LPPR 2013 kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada yang diserahkan kepada JKMR pada 12 Ogos lalu.

Empat syor lagi adalah seperti berikut;

i) Salah Laku Penjawat Awam

Penubuhan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara adalah usaha proaktif dan signifikan bagi membendung isu ketirisan
dan kelemahan pengurusan  kewangan seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013.

Justeru, LPPR juga menekankan keperluan mewujudkan undang-undang khas bagi menangani salah laku penjawat awam yang membelakangi peraturan serta kepentingan awam.

ii) Kesalahan Di Bawah Liabiliti Korporat

LPPR juga mendapati salah satu kelemahan dalam undang-undang sedia ada ialah ketiadaan peruntukan khusus berhubung liabiliti korporat. Peruntukan ini perlu bagi memastikan syarikat tidak terlepas daripada pendakwaan dan hukuman walaupun rasuah dilakukan oleh kakitangan atau ejennya, selain turut meluaskan kuasanya kepada sektor swasta, dan bukannya semata-mata terhadap sektor awam.
 
iii) Tindakan Tatatertib Bagi Kesalahan Rasuah

LPPR mengambil maklum mengenai isu keengganan / kelewatan mengambil tindakan tatatertib oleh Lembaga Tatatertib sesuatu Kementerian atau Jabatan kerajaan serta hukuman yang tidak setimpal yang dikenakan terhadap seseorang pegawai awam yang terlibat dengan kesalahan rasuah. LPPR mencadangkan mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah atas pertuduhan tatatertib dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan bagi mewujudkan elemen pencegahan.

iv) Pemakaian Rakaman VIR

LPPR mengesyorkan rakaman di Bilik Temu Bual Bervideo (VIR), salah satu inisiatif program transformasi SPRM, yang mengandungi rakaman percakapan pihak yang disiasat atau saksi diterima pakai sebagai keterangan di mahkamah.

“LPPR yakin bahawa dengan strategi yang tepat dan komitmen yang tidak berbelah bagi, SPRM akan menjadi sebuah agensi pencegahan rasuah yang berwibawa serta disegani,” kata Zaitun lagi.

LPPR merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Mengulas lanjut, Zaitun berkata, LPPR menyokong langkah perubahan dan penambahbaikan yang dilaksanakan untuk mengukuhkan dasar, peraturan, struktur, proses serta modal insan yang melonjakkan prestasi SPRM dan memantapkan operasinya.

Katanya, tanggungjawab mencegah jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa merupakan amanah yang berat dan memerlukan dedikasi serta komitmen yang tidak berbelah bagi daripada semua pihak.

“LPPR mengalu-alukan kerjasama dan sokongan padu semua pihak bagi membantu SPRM dalam usahanya mencegah jenayah rasuah demi memperkukuhkan integriti negara dan
meletakkan Malaysia di kalangan negara yang maju dan berwibawa,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan sempena penyerahan Ulasan LPPR 2013 kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada 12 Ogos 2014. JKMR dan LPPR merupakan dua daripada lima entiti mekanisme check and balance yang memantau perjalanan SPRM sejak ia dibentuk pada tahun 2009.

Menurut Zaitun, LPPR sedia maklum bahawa penambahbaikan yang dilaksanakan di bawah program transformasi telah memberi impak yang jelas, antaranya, kadar sabitan kes rasuah telah meningkat dari 54 peratus pada tahun 2009 kepada 84 peratus pada tahun 2013, sekali gus melebihi standard sabitan antarabangsa.

Ia menunjukkan SPRM berjaya mengekalkan sabitan kes rasuah lebih 80 peratus buat tahun kedua berturut-turut.

Selain itu, pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh SPRM melakar kejayaan SPRM pada tahun 2013. Penilaian Pejabat PBB Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC)
berhubung pematuhan Malaysia ke atas Konvensyen PBB Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC) telah mengiktiraf 23 amalan baik dan kejayaan usaha memerangi jenayah rasuah.

Zaitun berkata, pemilihan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) juga menunjukkan SPRM semakin dikenali di mata dunia dan diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Kedudukan Malaysia di tangga ke-54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2013 berbanding tangga ke-60 pada tahun 2012 menunjukkan keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap usaha membanteras rasuah semakin bertambah baik, kata beliau.

Pada tahun 2013, LPPR juga telah mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak antaranya Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, ahli politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan untuk membawa pelbagai isu SPRM yang mana  menunjukkan usaha dan sokongan padu LPPR terhadap usaha membanteras rasuah yang dilaksanakan SPRM.

0 comments:

Post a Comment