Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 17, 2014

No Comment

TILBURY (United Kingdom) – Seorang lelaki dijumpai mati dan 34 lain masih hidup dalam kontena kapal selepas kakitangan di sebuah pelabuhan di Britain terdengar bunyi ketukan dan jeritan daripada dalam.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak itu, dipercayai dari India, dijumpai di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Tilbury di timur London, dalam kapal dari pelabuhan Zeebrugge, Belgium.

Semua mereka yang terselamat dibawa ke hospital berdekatan; dua serius tetapi tidak berada dalam keadaan yang mengancam nyawa, sementara yang lain mengalami dehidrasi dan suhu badan terlalu rendah yang mencapai tahap bahaya.

Polis akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan berikutan kejadian itu. Polis Essex juga melancarkan siasatan pembunuhan kerana terdapat mangsa maut dalam kejadian itu.

Polis sudah menggeledah 30 daripada 64 kontena dalam kapal P and O itu yang tiba semalam, bagi memeriksa sama ada terdapat mangsa lain, kata kata Superintendan Polis Trevor Roe.

Syarikat P and O Ferries berkata kontena berkenaan tiba di Dermaga Zeebrugge di Belgium kira-kira sejam sebelum ia dimuatkan ke dalam feri.

Dua jam kemudian, kapal itu memulakan perjalanan selama lapan jam semalaman. Kapal itu membawa 64 kontena, 72 treler dan lima trak dan pemandu.

Lelaki yang maut itu disahkan mati di tempat kejadian oleh pasukan perubatan di Tilbury.

“Ia memerlukan siasatan pembunuhan dari pandangan polis,” kata Roe.

Tambahnya, ia adalah isu kemanusiaan dan kebajikan mangsa diutamakan.

Pasukan penyiasat juga kini menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan mangsa terselamat dan akan menunggu sehingga mereka pulih untuk menemubual mereka dengan bantuan juru bahasa.

Katanya, penyiasatan akan menjurus kepada kumpulan atau sesiapa sahaja yang mungkin terbabit dalam konspirasi ini yang membawa mangsa ke negara ini dengan cara demikian.

“Adalah jelas bahawa kita perlu membawa mereka ke muka pengadilan,” kata ahli parlimen tempatan, Stephen Metcalfe.

“Hakikatnya ialah begitu ramai orang melakukan perjalanan jauh dan dalam keadaan terdesak untuk masuk ke UK – sama ada dengan sendiri atau dianjurkan oleh pihak lain dan situasi ini amat menyedihkan,” katanya kepada BBC.

BBC juga memetik Pasukan Sempadan UK sebagai berkata pada 2012-2013, terdapat lebih 11,000 cubaan untuk menyeberangi English Channel secara haram.

Pada 2000, 58 pendatang haram warga China mati akibat sesak nafas berikutan saluran udara ke kontena di mana mereka ditempatkan ditutup dalam perjalanan ke pelabuhan Dover di selatan England.

Pada Julai tahun lalu, polis Britain menahan dua orang selepas 15 pencari perlindungan dijumpai tersembunyi di dalam sebuah lori tangki di atas sebuah feri di Dover.

Awal bulan ini, 16 orang, dipercayai dari Ethiopia, dijumpai dalam unit sejuk beku sebuah trak di luar London. Mereka ditahan kerana disyaki memasuki secara haram.

Pada Jun lalu, lapan pendatang haram, semuanya warga Afghan, diselamatkan di English Channel apabila bot mereka rosak. – AFP

0 comments:

Post a Comment