Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 17, 2014

No Comment

PAS hari ini memutuskan untuk kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan bersetuju dengan pilihan PKR untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail diangkat menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Parti Islam itu bagaimanapun turut menyerahkan nama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai nama calon lain untuk diangkat menjadi menteri besar.

"PAS tidak akan menuntut jawatan menteri besar Selangor. PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon menteri besar Selangor.


"Sehubungan dengan itu, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Khalid. Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah Dr Wan Azizah dan Azmin," kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di Ibu Pejabat PAS hari ini.

Dua nama itu kemudiannya akan ditentukan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang dijadualkan berlangsung petang ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut berkata, 4 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS dalam pentadbiran Selangor akan kekal.

"Empat Exco PAS di Selangor akan terus berada dalam kerajaan negeri untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas," katanya, ketika membacakan kenyataan yang ditandatangani Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mat Sabu berkata, keputusan mesyuarat yang tamat jam 11.30 pagi itu dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

Ketika ditanya, keputusan PAS hari ini seakan membuat pusingan U daripada keputusan awal mereka, Mat Sabu berkata: "Persetujuan tersebut sebulat suara dan tidak timbul soal berkenaan."

Beliau berkata, segala keputusan atau pendirian mana-mana sayap parti itu sebelum ini, termasuk Majlis Syura, tidak lagi terpakai.

"Itu tidak berbangkit sebab Khalid sudah dipecat partinya," katanya.

"Beliau kena pecat, kita tahaluf dengan parti bukan individu," kata Mat Sabu.

Antara pemimpin tertinggi PAS turut dilihat hadir mesyuarat berkenaan adalah Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar; Naib Presiden, Salahudin Ayub; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad.

Beliau turut mengulangi pendirian akan menyiasat tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Selangor – Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) – yang menghadiri sidang media Dr Wan Azizah pada Khamis menyuarakan sokongan majoriti 30 Adun kepadanya, daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dijangka akan mengadakan sidang media di Subang Jaya jam 6.30 petang ini bagi menyatakan keputusan mereka ekoran perkembangan terbaru dari PAS. – 17 Ogos, 2014. 

0 comments:

Post a Comment