Reaksi kecewa penyerang Atletico, Diego Costa selepas pasukannya gagal meraih tiga mata, awal pagi semalam.
ATLETICO Madrid mensia-siakan peluang merampas kedudukan teratas La Liga daripada Barcelona selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Sevilla, awal pagi semalam.
Atletico yang beraksi di laman sendiri dilihat mampu untuk merampas kedudukan liga selepas The Catalan hanya meraih satu mata, namun semuanya tidak berpihak kepada pasukan bimbingan Diego Simeone.
Los Colchoneros mendahului pada minit ke-18 menerusi bekas penyerang Barcelona, David Villa namun separuh masa kedua, Sevilla menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh kaptennya, Ivan Rakitic.
Simeone menjelaskan, kegagalan pasukannya meraih tiga mata bukan bermakna pasukannya lemah tetapi dihukum dengan kesilapan sendiri yang membolehkan pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti.
“Perlawanan ini sukar dan kami cuba untuk mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan tetapi ia tetap terjadi.
“Keputusan ini berat untuk diterima tetapi kami tetap berada di kedudukan teratas,” katanya.
Atletico yang berkongsi 51 mata dengan Barcelona berada di tangga kedua liga, diekori rapat Real Madrid dengan 50 mata selepas 20 perlawanan.
0 comments:
Post a Comment