Jakarta – Skuad elit antipengganas Indonesia menembak mati enam suspek militan dan menahan seorang lagi dalam insiden berbalas tembakan ketika sambutan tahun baru malam kelmarin, kata jurucakap polis.
Maklumat yang diperoleh daripada penahanan sebelum ini mendorong polis menyerbu tempat persembunyian suspek di Ciputat di pinggir Jakarta.
Jurucakap polis Indonesia Boy Raffli Amar berkata ia adalah sebahagian daripada siasatan terhadap rancangan untuk mengebom Kedutaan Myanmar dan kuil Buddha, Insiden berbalas tembakan selama sembilan jam itu bermula lewat kelmarin ketika kebanyakan rakyat Indonesia bersedia untuk menyambut tahun baru.
Boy Rafli berkata, mereka yang terbunuh enggan menyerah diri sebaliknya terus menembak dan membaling bom buatan sendiri ke arah pasukan keselamatan hingga mencederakan seorang anggota polis.
Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit disyaki anggota kumpulan yang lebih besar terbabit dalam rompakan untuk membiayai kegiatan pengganas.
Mereka juga dikaitkan dengan kumpulan pengganas diketuai Abu Wardah Santoso yang turut berada dalam senarai dikehendaki polis di Poso, pusat pengganas di Sulawesi Tengah.
Boy Rafli berkata, polis menemui enam bom buatan sendiri di kediaman itu.
“Terdapat bukti kukuh menunjukkan mereka terbabit dalam beberapa siri pembunuhan anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis turut merampas lima pistol revolver dan wang tunai 200 trilion rupiah (RM54,100) serta bahan untuk membuat bom.
“Kami turut menemui 20 hingga 30 cetakan alamat kuil Buddha yang dipercayai nakal menjadi sasaran serangan,” katanya.
Polis juga masih memastikan sama ada lelaki yang terbunuh dalam serbuan itu mempunyai kaitan dengan rancangan pengeboman Kedutaan Myanmar pada Mei tahun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan umat Islam di negara itu. – AP
0 comments:
Post a Comment