KUANTAN – Festival Muzik Antarabangsa Kuantan yang akan diadakan buat pertama kali April ini bakal menjadi antara tarikan utama pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM14).
Festival itu yang setaraf dengan Borneo Rainforest Music Festival dianjurkan di Sarawak sejak 2005 akan menampilkan ramai artis dalam dan luar negara dan peminat seni muzik dari seluruh dunia.
Pengarah Pejabat Pelancongan negeri Idros Yahya berkata menerusi festival ini, pelancong akan didedahkan dengan keunikan budaya dan muzik tradisional tempatan serta peluang mengenali lebih dekat nilai hidup setempat.
“Selain itu juga, festival ini boleh dijadikan lokasi pertemuan lebih ramai pemuzik dari seluruh dunia, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada mereka bertukar-tukar idea mengenai kebudayaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan kumpulan pertama pelancong dari luar negara yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), di sini hari ini, sempena TMM14.
Pada majlis itu, seramai 110 pelancong yang menaiki penerbangan MAS dari Kuala Lumpur dan Fireflyz dari Singapura diraikan dengan persembahan kebudayaan negeri di balai ketibaan.
Dalam pada itu, Ishak berkata, tiga lagi program dalam kalendar pelancongan negeri tahun ini diyakini dapat menarik kedatangan pelancongan iaitu Program Mengenal Burung di Bukit Fraser pada Jun, Sambutan Aidilfitri Peringkat Nasional dan Royal Billfish Challenge di Rompin.
“Jadi, sempena TMM14 ini, kita yakin dapat menarik lebih ramai penyertaan daripada pelancong dengan memperkenalkan beberapa pakej pelancongan yang menarik kepada mereka.
“Selain itu, pejabat pelancongan negeri juga akan memperkenalkan acara ‘Pahang Bicyclemania’ yang akan diadakan di setiap daerah sepanjang tahun ini,” katanya.
Sementara itu, pelancong dari New Zealand, Robert Atkinson, 51, berkata Malaysia menjadi antara negara pilihannya untuk melawat kerana kebudayaannya yang unik dan penduduknya yang ramah dan mesra.
“Saya telah melawat Malaysia beberapa kali dan ini kali kedua saya datang ke Pahang. Malaysia ialah sebuah negara yang indah dengan kebudayaan yang unik dan penduduknya ramah. Saya pernah melawat Sarawak sebelum ini dan secara keseluruhannya negara ini sebuah tempat yang indah untuk membawa keluarga bercuti,” katanya.
Monica Sun, 34, dari Beijing, China pula berkata rakannya yang mencadangkan untuk bercuti di negeri ini.
“Saya harap percutian ini berjalan lancar dan jika ia memuaskan hati saya dan keluarga, mungkin kami akan kembali lagi ke Pahang untuk bercuti selepas ini,” katanya menerusi penterjemah. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment