Kes penemuan jenazah Nursyafiqah Abdullah, yang berusia dua tahun di sebuah rumah kosong di Paka, Terengganu semalam melalui satu perkembangan yang menggemparkan apabila ibunya, Rabiatul Adawiyah Mamat, 28 tahun, ditahan polis semalam bersama tiga lagi suspek.
Lebih menyedihkan, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan, laporan yang dibuat oleh ibunya pada 18 Januari adalah laporan palsu.
“Susulan penahanan ibu mangsa juga, kita mendapat tahu laporan dibuat sebelum ini adalah palsu dan wanita itu mendakwa dia dipaksa berbohong oleh suspek utama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
Manoharan berkata suspek utama yang juga teman lelaki ibu mangsa yang berusia 25 tahun, ditahan di Kuala Paka,Dungun pada pukul 3.30 petang semalam.
“Polis mencari lelaki ini sejak 18 Januari lalu iaitu sejurus laporan polis dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 27 tahun mengenai kehilangan anaknya,” katanya.
Sebelum ini dalam laporan media, ibu Allahyarham Nursyafiqah memberitahu pihak polis yang dia pernah menerima ugutan bunuh.
Oleh demikian, cerita mengenai pertemuan dengan kawan dan Nursyafiqah ditinggalkan di dalam kereta di sebuah restoran semuanya palsu dan direka-reka.
Menurut Manoharan lagi, ketika ditahan semua suspek dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah.
“Kita percaya semua suspek termasuk ibu mangsa terbabit dengan dadah dan turut menjadi pengedar secara kecil-kecilan,” katanya.
Ekoran penahanan kesemua suspek, pihak polis yakin dapat menyelesaikan kes penemuan jenazah Nursyfiqah yang hilang sejak 17 Januari lepas dalam tempoh terdekat.
0 comments:
Post a Comment