SEPANG – Menteri Luar Turkmenistan, Rashid Meredov, tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari bermula, hari ini.
Beliau disambut Ketua Penolong Setiausaha Hubungan Dua Hala Wisma Putra, Datuk Ramlan Ibrahim ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Turut menyambut beliau ialah Duta Turkmenistan di Malaysia, Yazkuli O Mammedov.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Rashid akan membuat kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Anifah Aman untuk membincangkan isu hubungan dua hala dan serantau serta hal kepentingan bersama.
Ini adalah lawatan rasmi beliau yang pertama di Malaysia atas kapasiti sebagai menteri luar Turkmenistan.
Rashid pernah mengunjungi Malaysia sebelum ini ketika mengiringi Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov yang mengadakan lawatan negara pada Disember 2011.
Malaysia membuka kedutaan di Ashgabat pada 2011 dan Turkmenistan menyambut usaha itu dengan mewujudkan kedutaan di Malaysia pada 2013.
Kedutaan Turkmenistan di sini adalah residen perwakilan diplomatik pertama negara itu di rantau ASEAN. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment