KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mahu menambah seramai 500,000 ahli baharu dalam tempoh tiga tahun dari sekarang bagi memperkasakan lagi sayap parti itu.
Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan berkata, Puteri UMNO di peringkat negeri, bahagian dan cawangan akan melaksanakan pelbagai program untuk mencapai hasrat itu.
“Puteri UMNO mahu menambah lebih ramai bilangan ahli di seluruh negara bagi memastikan pergerakan tersebut mempunyai pelapis muda dalam memperkuatkan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
“Biro Keahlian Puteri telah merangka program untuk mencapai sasaran itu termasuk melalui Kempen Keahlian Puteri UMNO peringkat kebangsaan yang akan dilancarkan di Taiping, Perak pada 18 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Zahida berkata, Kempen Keahlian Puteri UMNO bertujuan mendaftarkan seramai mungkin belia perempuan di seluruh negara untuk menyertai UMNO dengan mengesan dan mengenal pasti mereka di setiap bahagian dan cawangan UMNO.
Menurutnya, Puteri UMNO Malaysia akan turut mempergiatkan usaha menjalankan kempen ke atas lepasan sekolah menengah, universiti dan semua golongan yang berminat memperjuangkan masa depan bangsa dan negara.
“Kempen menambahkan ahli Puteri UMNO membabitkan belia berusia lebih 18 tahun dalam kalangan mereka yang belum mendaftar sebagai ahli pergerakan itu.
“Selain berkempen Puteri UMNO akan melaksanakan program Mesra Puteri di peringkat kampung khususnya di kawasan luar bandar dalam mendekatkan diri Puteri dengan golongan belia,” katanya.
0 comments:
Post a Comment