Chatting antara lelaki dan wanita bukan mahram sama seperti bercakap di telefon yang mungkin boleh menimbulkan maksiat. Pic: www.kontralisanfm.com
BEBERAPA hari lalu, pemimpin Iran, Ayotollah Ali Khamenei mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan sembang internet antara wanita dan lelaki bukan mahram kerana boleh mendorong perbuatan maksiat.
Fatwa itu dipersetujui oleh Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad yang turut menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan turut mengharamkan aktiviti itu bagi mencegah penularan kegiatan bertentangan Islam.
Mereka mahu Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa dan menyediakan garis panduan mengenai perbuatan ini bagi mencegah penularan pelbagai kegiatan bertentangan Islam yang turut dikesan menjadi faktor keruntuhan institusi perkahwinan umat Islam.
Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengkaji keperluan untuk mewartakan fatwa supaya melarang perbualan berbaur maksiat.
Manakala Abdul Rahman pula berkata, masyarakat hari ini berpandangan pergaulan bukan muhrim di media sosial tanpa batasan tidak melanggar hukum Islam kerana ia tidak membabitkan pertemuan secara fizikal.
Di Malaysia, 'chatting' atau komunikasi dengan tulisan melalui jaringan internet semakin menjadi viral tambahan pula internet boleh diakses di mana-mana menggunakan telefon bimbit kini.
Sembang antara lelaki dan perempuan bukan mahram pada dasarnya tidak dilarang apabila perbualan itu mengikut syara'.
Perbualan mengandungi kebaikan, menjaga adab-adab kesopanan, tidak menyebabkan fitnah dan tidak khalwat.
Gesaan Mufti Pahang dan Mufti Penang Harus Dipertimbangkan
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata chatting dalam internet dengan bukan mahram adalah haram dalam Islam, percakapan dan chatting antara lelaki dan perempuan dalam internet seperti membuka pintu fitnah dan maksiat.
Katanya, hal itu adalah hukum Islam dan tiada kaitan dengan pegangan Syiah.
Tan Sri Harussani Zakaria. Pic: www.kl-today.com |
"Walaupun Iran itu ramai penganut Syiah, tapi apa yang dilakukan adalah mengikut Islam.
Malah, beliau turut menyarankan cara terbaik sekiranya kerajaan ingin mengharamkan chatting seperti yang dilakukan Iran .
"Salah satu caranya adalah dengan menyekat semua akses laman sosial jika kerajaan benar-benar ingin haramkan seperti yang digesa Mufti Pahang dan Penang", katanya kepada SK.
Manakala bagi pendakwah bebas, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri.
Namun katanya cadangan daripada kedua-dua Mufti Pahang dan Penang itu memerlukan kajian yang lebih teliti kerana orang Islam sendiri harus mendalami teknologi terkini supaya tidak ketinggalan.
"Saya tidak melihat internet ini sesuatu yang tidak baik, banyak perkara yang memerlukan kita berurusan menerusi internet seperti berniaga, saluran maklumat yang cepat dan perlu diakui tidak semua pengguna yang menggunakannya dengan baik...di situ timbulnya penyalahgunaan dan menyebabkan pelbagai perkara tidak diingini berlaku.
Katanya, setiap negeri di negara ini mempunyai fatwa yang berlainan dan mereka berhak mewartakan apa-apa fatwa sekiranya bersesuaian dengan keadaan setempat.
"Jika di Penang mempuyai banyak masalah yang berpunca daripada kegiatan chatting bukan mahram, maka mereka berhak dan negeri lain tidak perlu ikut sekiranya kurang bersesuaian dengan tempat mereka.
"Sebagai contoh, Selangor dan Kedah sudah mewartakan fatwa pengharaman rokok tetapi tidak bagi negeri lain, jadi ini adalah contoh bahawa fatwa boleh diwartakan mengikut kesesuaian negeri", jelasnya kepada SK.
Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. Pic: blogspot.com |
Namun tidak dinafikan banyak kes- kes maksiat, zina, buang bayi dan jenayah yang berpunya daripada aktiviti itu. Logiknya penyalahgunaan itulah juga mungkin boleh menjurus kepada keruntuhan rumah tangga bermula daripada perkenalan melalui sembang internet secara biasa seterusnya kepada cinta di alam siber membabitkan pasangan suami atau isteri yang sudah berkahwin.
Kisahnya, si isteri disepak, dipukul si suami dek kerana sangkakan si isteri curang. Ini berpunca disebabkan keasyikan sang isteri yang suka ber’facebook’.
Sudah banyak kes begini terjadi di negara kita. Bergaduh atau bercerai kerana facebook.
Pendakwah dan Perundingcara Kekeluargaan, Zainal Abidin Yahaya berkata cadangan daripada kedua-dua Mufti dari Pahang dan Penang itu sememangnya harus diberi perhatian oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Katanya, semakin ramai pasangan yang bercerai kini adalah berpunca daripada kecurangan pasangan yang melibatkan internet.
"Walaupun ianya tidak banyak kes yang berpunca daripada cinta siber, namun kita harus ambil serius berkenaan hal ini dan kemungkinan besar dengan adanya akses internet di telefon bimbit, maka semakin ramai yang terjebak dalam aktiviti ini.
Bagaimanapun jelasnya, penyalahgunaan itu tidaklah seperti faktor utama seperti ekonomi, tiadanya akidah dan wujudnya orang ketiga dalam rumahtangga.
"Ya, memang tidaklah faktor utama tetapi harus diberi perhatian kerana pasangan yang curang sukar dikesan jika bercinta dalam internet.
"Pada mulanya mereka hanya berkenalan sebagai kawan, berchatting seperti biasa dan kemudian bila selalu sangat berchatting, terbit pula rasa rindu dan mulalah bibit-bibit percintaan dan maksiat, jadi saya fikir ia harus diteliti", jelasnya kepada SK.
Tambahan pula dengan perkembangan media sosial, semua orang boleh mengakses facebook atau twitter misalnya, boleh dilakukan di mana-mana saja dan pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan sebuah telefon bimbit.
Fatwakan Haram, Salah Satu Cara Kurangkan Jenayah Siber
Masihkah anda ingat dengan kes jururawat berusia 25 tahun yang menjadi ‘tawanan’ seorang Romeo Siber yang mengurungnya di sebuah rumah setelah beberapa hari berkenalan melalui laman Facebook baru-baru ini?
Saban hari pasti ada berita yang dipaparkan media mengenai keganasan dan jenayah siber yang mengundang ketakutan di kalangan masyarakat.
Malah ada juga yang membuang bayi disebabkan hubungan terlarang dengan rakan media sosial berpunca daripada 'chatting' di laman sosial. Semuanya berpunca daripada perkenalan di media sosial, tidak kira Facebook, Twitter atau mungkin WeChat.
Kamal Affendi Hashim |
Ogos tahun lalu, seorang remaja dituduh merogol seorang gadis yang baru dikenalinya dalam tempoh dua hari menerusi aplikasi WeChat di tepi tangga sebuah pangsapuri.
Tidak hairanlah jika Majlis Fatwa Kebangsaan juga digesa untuk mengharamkan sembang internet diantara lelaki dan wanita bukan muhrim bagi mengelakkan berlakunya maksiat serta jenayah lain.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim juga menyambut baik langkah yang dikemukakan pihak kedua-dua Mufti itu bagi mengurangkan kadar jenayah siber.
Katanya, apa sahaja cara yang disarankan adalah baik untuk mencegah jenayah berat namun yang lebih utama adalah kawalan kepada diri sendiri (mangsa).
"Banyak jenayah siber kerap berlaku dan kebanyakkannya mereka yang baru sahaja berkenalan malah telah diterangkan bagaimana ia terjadi, penjenayah menggunakan identiti palsu... jika seseorang itu sayangkan nyawa, dia sedar kesannya mengapa mereka masih lagi mahu berdegil dan melayan orang yang baru dikenali di internet?
Jelasnya, chatting di internet juga boleh membawa kepada jenayah melalui ciri perbualan dan boleh didakwa dibawah Akta Perlindungan Kanak- Kanak dan Akta Perlindungan Wanita & Gadis.
"Melalui chatting, ciri-ciri berbualan itu sendiri boleh membuktikan arah tuju komunikasi itu, penipuan siber ini berlaku dimana-mana dan setiap hari pasti ada kejadian melibatkan internet jadi mengapa individu (mangsa) tidak peka?.
Jelasnya, individu yang selalu menjadi mangsa adalah mereka yang merasakan diri mereka tidak akan ditipu kerana status, pendidikan dan berpendapat penipuan hanya berlaku kepada orang lain.
Malah apabila berinteraksi di media sosial, mereka tidak meminta pandangan daripada pihak ketiga seperti rakan atau keluarga untuk membantu mereka mempuat keputusan.
"Itu silapnya, mereka fikir mereka tidak akan ditipu kerana mereka cerdik, keluar dengan rakan yang baru kenal tanpa pengetahuan rakan atau keluarga... maka inilah kesannya," jelasnya kepada SK.
0 comments:
Post a Comment