JITRA – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyarankan agar tanaman alternatif yang boleh diproses serta menjana pendapatan dalam masa yang singkat dilaksanakan bagi menangani masalah ladang ketum yang diusahakan secara berleluasa khususnya di Kedah.
Beliau berkata masalah yang dihadapi ialah sukar untuk mengesan pemilik ladang ketum sekaligus menyukarkan usaha mengekang masalah penyalahgunaan ketum.
Beliau berkata antara kaedah yang boleh dilaksanakan bagi menghalang orang ramai menanam pokok ketum ialah dengan menyarankan supaya mereka menanam tanaman lain dan boleh menjana pendapatan lebih lumayan.
“Saya difahamkan di Kedah, daun ketum ditanam secara berleluasa, diproses secara asas dan dijual. Jadi kita cadangkan ganti tanaman ketum dengan satu tanaman alternatif.
“Kita akan cari apakah jenis pokok yang boleh diproses dan dijual dengan cepat. Contohnya seperti pokok stevia yang daunnya boleh diproses bagi menggantikan gula,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Ramah Mesra Bersama Komuniti Kubang Pasu di Taman Mahsuri dekat sini hari ini.
Mengenai undang-undang bagi menghalang penanaman ketum, Wan Junaidi berkata pokok berkenaan tidak boleh dihapuskan begitu sahaja, namun pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan akan cuba mencari mekanisme terbaik dalam menangani isu berkenaan.
“Memang sukar untuk kita hapuskan tanaman ini. Daun ketum merebak macam rumput biasa, macam lalang, macam mana kita nak hapuskan lalang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu sepanjang tahun lalu, program Caring Community House (CCH) yang diwujudkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan menerima 117,588 klien yang tampil menyertainya secara sukarela.
Katanya kini terdapat 78 buah CCH di seluruh negara dan jumlah itu menunjukkan bahawa program yang dilaksanakannya memberi impak besar dan menjadi fenomena baharu dalam program pemulihan dadah dalam komuniti. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment