KUALA LUMPUR – Yayasan Media Malaysia (myMedia) mengecam sikap tidak prihatin segelintir pihak mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak beberapa hari lalu melalui Facebook dan Twitter.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzulkarnain Taib mendakwa, lebih malang apabila kenyataan tidak bertanggungjawab itu dibuat oleh ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta portal-portal berita.
“Mereka seolah-olah mengganggap apa yang berlaku hanya perkara enteng lantas membukikan tahap kualiti rendah pemikiran mereka.
“Ketika negara berhadapan dengan krisis peranan kita untuk menuding jari dan mencari kesalahan tetapi sebaliknya berfungsi untuk menyatu serta menenangkan pemikiran rakyat dari segenap lapisan masyarakat; bukannya terus berpolitik kepartian dan mengapi-apikan perasaan rakyat yang kini diselubungi perasaan sedih dan pilu,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.
Dzulkarnain berkata, semua pihak sepatutnya menjadikan landasan media sosial sebagai alat dan perantaraan untuk mengukuhkan perpaduan dan semangat cintakan negara dan juga membina semangat muhibbah semua rakyat Malaysia.
“Jangan jadikan alat media dalam apa jua bentuk untuk menyebar pemikiran negatif dan songsang yang langsung tidak menyumbang kepada kesejahteraan Malaysia yang kita cintai malah memberi impak yang tidak baik kepada imej negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memuji kesungguhan pihak kerajaan dan kakitangan MAS yang kini bertungkus lumus berusaha mencari dan menyelamat pesawat itu yang disyaki hilang di Laut China Selatan.
0 comments:
Post a Comment